Pengarah JBPM Selangor Wan Md Razali Wan Ismail menyampaikan sijil penghargaan kepada Izzhan Alif Mohd Kamazan di Balai Bomba dan Penyelamat Pandan Indah pada 9 Ogos 2023. Foto Facebook Bernama
AGENDANASIONAL

Remaja selamat kanak-kanak dalam kebakaran terima sijil penghargaan

KUALA LUMPUR, 9 OGOS: Tindakan berani remaja lelaki meredah asap tebal untuk menyelamatkan kanak-kanak berusia lima tahun dalam kebakaran di sebuah rumah di Taman Sri Jelok, Kajang bulan lalu mendapat penghargaan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor.

Sijil penghargaan wira cilik itu diterima pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tinggi Kajang, Izzhan Alif Mohd Kamazan, 17, yang disampaikan Pengarah JBPM Selangor Wan Md Razali Wan Ismail pada Majlis Perhimpunan Bulanan Peringkat JBPM Selangor di Balai Bomba dan Penyelamat Malaysia Pandan Indah di sini hari ini.

Menceritakan kembali detik kejadian pada 20 Julai lalu itu, Izzhan Alif berkata dia baru pulang dari sekolah jam 12 tengah hari sebelum terdengar jeritan wanita yang juga jirannya meminta tolong kerana anaknya terperangkap dalam kebakaran.

“Selepas menghubungi bomba, saya tidak berfikir panjang dan terus berlari masuk ke dalam rumah menyelamatkan kanak-kanak itu. Dua kali saya masuk ke dalam rumah kerana asap tebal dan mengambil selimut basah untuk menyelamatkan mangsa,” katanya.

Izzhan Alif berkata dia terpaksa menendang pintu bilik rumah itu dan menemukan kanak-kanak berkenaan dalam keadaan menangis dan ketakutan.

Anak kedua daripada empat adik-beradik itu berkata ketika itu, dia hanya memikirkan untuk bertindak pantas bagi menyelamatkan kanak-kanak terbabit.

“Saya sendiri tidak tahu dari mana datang keberanian untuk meredah api, perkara yang saya fikir hanyalah perlu bertindak cepat kerana jika tidak ia boleh meragut nyawa kanak-kanak itu,” katanya.

Dalam kebakaran itu, enam kediaman termasuk rumah keluarga Izzhan Alif dijilat api dan dia bersama keluarga kini tinggal sementara di asrama tempat ibunya bekerja di Bandar Baru Bangi sehingga rumah mereka siap dibaiki.

Selain Izzhan Alif, dua pegawai JBPM Selangor dan seorang guru turut menerima sijil penghargaan kerana membantu menyelamatkan mangsa dalam kebakaran di Selangor.

– BERNAMA


Pengarang :