Foto Arkib Selangorkini
AGENDAJENAYAH

Remaja, warga emas ditemukan lemas ketika memancing

SEREMBAN, 21 OGOS: Dua lelaki ditemukan lemas ketika memancing di Sungai Simen, Jalan Rantau Ladang Kombok di sini, semalam.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Rantau Pegawai Bomba Kanan (PBK) 1 Mohd Syazwan Saidy berkata mangsa pertama berusia 16 tahun beralamat di Ladang Kombok dan warga emas 60 tahun beralamat di Taman Bukit Merbok Ria, Rasah.

Beliau berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 8.07 malam sebelum 10 anggota dari balai Rantau dengan 10 anggota Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) dikejarkan ke lokasi.

“Mayat remaja berkenaan ditemukan abangnya berusia lingkungan 20-an pada 7.15 malam, dia sebelum itu mencari mangsa di kawasan sungai tersebut selepas tidak pulang ke rumah sejak petang.

“Abangnya mendapati hanya keperluan peribadi kedua-dua mangsa sahaja berada berhampiran sungai itu. Dia cuba menghubungi adiknya dan terdengar deringan telefon di tebing sungai sebelum secara tiba-tiba ternampak jala di permukaan air,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Syazwan berkata abang mangsa kemudian menarik jala tersebut dan mendapati adiknya dalam keadaan terbelit namun sudah tidak bernyawa.

Beliau berkata mayat warga emas itu pula ditemukan PPDA di dasar sungai kira-kira 11 malam pada jarak 10 meter dari tebing.

Beliau berkata anak warga emas sebelum itu turut mencari bapanya di lokasi namun tidak menemukan mangsa.

Katanya, mayat kedua-dua lelaki itu diserahkan kepada polis dan dihantar ke Hospital Tuanku Jaafar, Seremban untuk bedah siasat.

– BERNAMA


Pengarang :