Anggota penguat kuasa MPK menyita peti sejuk sebuah restoran 24 jam berikutan gagal melunaskan cukai taksiran dalam satu operasi di Jalan Selat Selatan, Pandamaran pada 29 Ogos 2023. Foto SITI ROHAIZAH ZAINAL/SELANGORKINI
PBTSELANGOR

Restoran 24 jam disita gagal lunas cukai RM21,000 sejak 2015

KLANG, 29 OGOS: Sebuah restoran yang beroperasi 24 jam di Jalan Selat Selatan, Pandamaran disita Majlis Perbandaran Klang (MPK) berikutan gagal membayar cukai taksiran sejak lapan tahun lalu.

Timbalan Pengarah Undang-Undang MPK Muhammad Azlan Ab Malek memaklumkan cukai tertunggak berjumlah RM21,000 tidak dilunaskan pemilik premis sejak 2015, meskipun diberi amaran sebelum ini.

“Pemilik pernah cuba selesaikan tunggakan pada 2018 tetapi menggunakan cek tendang. MPK kemudian kemukakan bil pada 27 Jun lalu dan cuba selesaikan sebaik mungkin tetapi masih tiada tindakan.

“Susulan itu, tindakan sitaan terpaksa diambil MPK akibat kegagalan pemilik premis membayar tunggakan cukai berkenaan,” katanya ditemui dalam operasi tersebut hari ini.

Jelasnya, dua unit peti sejuk dan satu meja besi yang disita disimpan di stor Jabatan Penguat kuasa dan boleh dituntut dalam tempoh tujuh hari dari tarikh sitaan selepas tunggakan dibayar.

“Sekiranya tidak berbuat demikian, MPK akan menjual semua barang-barang sitaan melalui lelongan awam sepanjang tempoh diberikan,” tegas Muhammad Azlan.

Tindakan mengikut Seksyen 147 dan 148 Akta Kerajaan Tempatan 1976, yang membolehkan MPK menyita harta alih sekiranya gagal membayar cukai taksiran.

 


Pengarang :