Orang ramai membantu anggota bomba mengalihkan bumbung pangsapuri dan gerai yang diterbangkan angin dalam kejadian ribut dan hujan lebat di Taman Ampang Hilir pada 27 Ogos 2023. Foto ihsan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia
AGENDANASIONAL

Ribut terbangkan bumbung flat, gerai di Ampang

KUALA LUMPUR, 28 OGOS: Bumbung rumah flat dan bumbung gerai diterbangkan angin kencang dalam kejadian hujan lebat dan ribut di Taman Ampang Hilir, Ampang, di sini, hari ini.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysias (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar, berkata kejadian itu telah menyebabkan laluan masuk ke kawasan perumahan tersebut terhalang.

Bagaimanapun, katanya, tiada sebarang kemalangan jiwa dilaporkan.

Bumbung pangsapuri dan gerai di Taman Ampang Hilir, Selangor diterbangkan angin dalam kejadian ribut dan hujan lebat pada 27 Ogos 2023. Foto ihsan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia

“Bomba terima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 4.49 petang tadi untuk kerja mengalihkan bumbung yang menghalang laluan tersebut. Seramai lima anggota bersama sebuah jentera dari Balai Bomba Penyelamat (BBP) Pandan digerakkan ke lokasi kejadian.

“Kerja pembersihan dijalankan bersama pihak Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) dan orang awam sehingga tiada lagi ancaman kepada penduduk,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata siasatan serta pemeriksaan diserahkan kepada pihak MPAJ dan polis untuk tindakan lanjut.

– BERNAMA

 


Pengarang :