Pemandangan dari atas menunjukkan keadaan sekitar Sungai Klang yang semakin bersih dengan bantuan alat pembersihan Interceptor. Foto Facebook Selangor Maritime Gateway
AGENDANASIONAL

Sanusi disaman, Berjaya Land perinci butiran sebenar projek Sungai Klang

SHAH ALAM, 5 OGOS: Berjaya Land Berhad mengambil tindakan undang-undang terhadap pemimpin kanan Perikatan Nasional yang menyampaikan fitnah terhadap projek pembangunan Sungai Klang.

“Kami sedang mengambil tindakan segera dengan membuat laporan polis dan mengambil langkah undang-undang untuk melindungi hak kami dalam hal ini,” kata Ketua Pegawai Eksekutifnya Syed Ali Shahul Hameed.

Syarikat tersebut menafikan tuduhan Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor dalam ceramah politiknya di Jitra, Kedah pada 2 Ogos berkenaan inisiatif Gerbang Maritim Selangor (SMG).

“Berjaya Land mendapati bahawa ucapan menteri besar itu (Sanusi) mengandungi kenyataan yang jelas palsu, tidak benar, tidak berasas, tidak disahkan, berniat jahat dan berniat mengelirukan yang dibuat terhadap syarikat, secara langsung dan/atau tidak langsung berkaitan dengan projek SMG.

“Ucapan menteri besar adalah bermotifkan politik, memfitnah, dan direka untuk memburukkan nama baik Berjaya Land mahupun Kerajaan Selangor dengan menyiratkan urus niaga yang meragukan oleh kedua-dua pihak berkaitan dengan Projek SMG,” kenyataan syarikat itu semalam dipetik.

Dalam perkembangan berkaitan, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari pada 4 Ogos turut menyaman Sanusi atas kenyataan isu sama.

Syarikat itu turut menjawab satu persatu kenyataan palsu yang dibuat Sanusi:

1. Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI tidak menjual 55 peratus sahamnya dalam anak syarikat miliknya kepada Berjaya Land

2. Syarikat bertujuan khas Landasan Lumayan Berjaya Sdn Bhd (LLBSB) dibentuk melalui usaha sama Landasan Lumayan Sdn Bhd (LLSB, 45 peratus), anak syarikat penuh MBI, dan Berjaya Hartanah Berhad (55 peratus)

3. Selain membersihkan dan membangunkan Sungai Klang, usaha sama itu juga untuk menyediakan projek perumahan mampu milik

4. Projek SMG mendapat pengiktirafan Green World Awards 2023 atas usahanya membersihkan Sungai Klang

5. Berjaya Land dan/atau syarikat berkaitannya tidak pernah mendapatkan atau diberikan tanah seluas 600 ekar bernilai RM10 bilion

6. Beberapa bidang tanah seluas 103.6 ekar diluluskan oleh Kerajaan Negeri kepada LLBSB setelah tanah tersebut didapati bersesuian untuk pembangunan

7. Berjaya Land dikehendaki mengumpul dana untuk membayar premium bagi pemindahan hak milik tanah tersebut berdasarkan kadar harga pasaran

8. Berjaya Land dan/atau syarikat berkaitannya tidak mendapat tanah 600 ekar

9. Negeri Selangor tidak mengalami kerugian RM180 juta daripada tanah yang diberikan itu

10. Hanya 103.6 ekar tanah diluluskan untuk usaha sama tersebut dan akan menjelaskan premium tanah RM113.1 juta mengikut nilai pasaran semasa seperti ditentukan Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta

Pada Khamis, LLSB mengambil tindakan undang-undang terhadap seorang aktivis politik yang membuat tuduhan tidak berasas.


Pengarang :