Dato’ Menteri Besa Dato’ Seri Amirudin Shari bersama penerima Surat Tawaran Rumah Selangorku pada Jelajah #KitaSelangor Penyayang (JKSP) daerah Gombak di Tapak Bazar Ramadan Taman Melawati, Gombak pada 25 Februari 2023. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Sasar bina 200,000 rumah mampu milik dalam tempoh lima tahun

KUALA LANGAT, 1 OGOS : Kerajaan Selangor menyasarkan 200,000 unit kediaman mampu milik dibina dalam tempoh lima tahun sekiranya diberi mandat mentadbir negeri.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata sebanyak 171,000 rumah dibangunkan sepanjang lima tahun pentadbiran Pakatan Harapan (HARAPAN) di Selangor.

“Penggal ini sahaja kita sudah berjaya bangunkan 171,000 unit rumah mampu milik tetapi belum siap sepenuhnya, yang sudah siap sekitar 6,000 ke 7,000 unit.

“Malah, KPKT (Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan) juga menyebut bahawa kita bina rumah murah kos rendah tertinggi berbanding negeri lain,” katanya.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari (dua,kiri) menyaksikan Ketua Pegawai Operasi Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) MBI, Saipolyza M Yusop menyampaikan bantuan baik pulih jeti nelayan kepada wakil nelayan Norhairi Mohd Yulah (kanan) pada majlis penyerahan bantuan MBI kepada mangsa bencana ribut di Morib dan sumbangan baik pulih jeti nelayan Kampung Kelanang di Dewan Orang Ramai Kampung Morib, Kuala Langat pada 1 Ogos 2023 Foto MOHD YUSNI ARIFFIN/SELANGORKINI

Amirudin berkata demikian ketika ditemui selepas menyaksikan majlis serahan bantuan mangsa bencana ribut dan baik pulih jeti nelayan di Dewan Orang Ramai Kampung Morib di sini hari ini.

Berdasarkan pengalaman lalu, beliau yakin lebih banyak rumah mampu milik dapat dibina pada masa akan datang meski berdepan pelbagai cabaran.

“Kita yakin kita boleh melaksanakannya meski kita berdepan dengan pelbagai cabaran sebelum ini seperti bencana, pandemik dan ketidakstabilan di peringkat persekutuan.

“Namun, kita tetap berjaya meneruskan usaha pentadbiran dan pengurusan kerana kepimpinan ini berjaya membelanjakan perbelanjaan berhemah,” katanya.

Pengerusi HARAPAN Selangor Dato’ Seri Amirudin Shari membentang Tawaran Kita Selangor : Lima Tekad Untuk Lima Tahun Untuk Rakyat Selangor di Seksyen 7, Shah Alam pada 31 Julai 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Semalam, Amirudin yang juga Pengerusi HARAPAN Selangor mengumumkan sebanyak 200,000 unit rumah berharga RM250,000 ke bawah akan dibina sekiranya parti itu berjaya menerajui negeri ini.

Pengumuman itu dibuat menerusi Tawaran Kita Selangor: Lima Tekad Untuk Lima Tahun Kegemilangan Selangor.


Pengarang :