Calon Pakatan Harapan (HARAPAN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang Mohd Yahya Mat Sahri pada sidang media di bilik gerakan calon Permatang pada 6 Ogos 2023. Foto NAJAMUDDIN MOHD NOR/SELANGORKINI
ADNSELANGOR

Satu kampung satu produk usahawan, azam Pak Ya untuk DUN Permatang

Oleh NAJAMUDDIN MOHD NOR

TANJONG KARANG, 6 OGOS: Satu kampung, satu produk usahawan. Itu tekad calon Pakatan Harapan (HARAPAN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang sekiranya dipilih sebagai wakil rakyat.

Mohd Yahya Mat Sahri atau Pak Ya berkata, ia berdasarkan potensi yang terdapat di sesebuah kampung berkenaan.

“Pak Ya bertekad untuk membantu setiap kampung di Permatang mesti ada satu industri usahawan atau produk sendiri seperti agro pelancongan, memandangkan banyak kampung di sini memiliki sawah padi saujana mata memandang.

“Melalui bantuan dan galakan daripada agensi kerajaan dan negeri, kita boleh inovasi potensi sekali gus menjana pendapatan. Pelbagai perniagaan akan wujud seperti peniaga makanan, cenderamata dan sebagainya sekali gus merancakkan ekonomi setempat,” katanya pada sidang media di bilik gerakan, di sini.

Selain itu Pak Ya berkata, industri kecil dan sederhana (IKS) akan diperkasakan terutama kepada golongan petani dan nelayan di DUN Permatang bagi membantu mereka tidak terlalu bergantung kepada hasil pertanian dan laut semata-mata.

“Pak Ya tekad membantu nelayan, inovasikan hasil laut bagi membantu mereka menghasilkan produk seperti keropok, belacan, ikan kering dan sebagainya.

“Juga kepada orang kampung khususnya petani, Pak Ya mahu membantu mereka menceburi IKS seperti menghasilkan produk berasaskan makanan, Insyaallah Pak Ya akan bantu mereka jika menjadi wakil rakyat DUN Permatang,” katanya.

DUN Permatang menyaksikan pertembungan dua penjuru antara Pak Ya dan Nurul Syazwani daripada Perikatan Nasional.


Pengarang :