AGENSISELANGOR

Selangor Fruit Valley tawar tiket serendah RM10 di pameran Matta

SHAH ALAM, 26 OGOS: Selangor Fruit Valley (SFV) menawarkan harga tiket serendah RM10 pada Pameran Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (Matta), September ini.

SFV memaklumkan, harga promosi itu ditawarkan untuk tiket kanak-kanak dan warga emas, berbanding harga asal RM15.

“Manakala bagi tiket kemasukan untuk dewasa pula kami tawarkan pada harga RM15 berbanding harga asal RM20.

“Datang beramai-ramai ke pameran pelancongan Matta untuk menikmati penjimatan dan harga tiket yang lebih murah,” katanya menerusi poster di Facebook.

Pameran Matta bakal berlangsung pada 1 hingga 3 September di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC). Ia dijangka menarik kehadiran kira-kira 200,000 pengunjung.

SFV yang terletak di Bestari Jaya, merupakan pusat agropelancongan negeri yang menyediakan aktiviti sukan lasak seperti luncur keluang (flying fox), perkhemahan dan kenderaan serba rupa bumi (ATV).

Dengan keluasan hampir 1,000 hektar, ia mempunyai lebih 20 jenis tanaman buah-buahan termasuk belimbing, durian, mangga, jambu batu, nangka, pulasan, kelapa dan nanas.


Pengarang :