GOMBAK, 6 OGOS: Ruang udara Gombak malam ini bergema dengan alunan selawat dan qasidah sempena Gombak Berselawat ‘Malam Cinta Rasul’ anjuran Parlimen Gombak.
Bertempat di Dataran Niaga Selayang Mutiara di sini, kumpulan nasyid tempatan Inteam mengetuai selawat diiringi ratusan penduduk sekitar dan pelajar Madrasah Al-Hamil Quran Asy Syaatibi serta Madrasah Tahfiz Darul Islah, Kampung Baru.
Kumpulan nasyid itu turut mendendangkan lagu kerinduan kepada Rasulullah SAW bagi menyemarakkan lagi program itu.
Program turut diselitian dengan bacaan ayat suci al-Quran oleh Ustaz Husaini Mahmur dan tausiah dibacakan Habib Nael Ben Taher.
![](https://selangorkini.my/wp-content/uploads/2023/08/Picture85-500x333.png.webp)
Terdahulu, program dengan kerjasama Perpaduan Gombak, Generasi Gombak dan Raudhatul Quran bermula jam 8.30 malam dengan solat Isyak serta solat hajat berjemaah.
Turut hadir Dato’ Menteri Besar merangkap Ahli Parlimen Gombak Dato’ Seri Amirudin Shari serta Yang Dipertua Pertubuhan Kebajikan dan Amal Wanita Selangor (Pekawanis) Datin Seri Masdiana Muhamad.