Pelajar mengikuti program kursus kurikulum Apple bagi kohort kedua di Pusat Pembangunan Kemahiran Teknikal Negeri Selangor (STDC), pada Julai 2023. Foto STDC
AGENSISELANGOR

STDC anjur kursus Apple secara percuma untuk anak Selangor

OLEH FHATIHAH ZAKINAN

SHAH ALAM, 16 OGOS: Pusat Pembangunan Kemahiran Teknikal Negeri Selangor (STDC) bakal menganjurkan kursus pembangunan teknologi aplikasi profesional di bawah kurikulum Apple secara percuma, selama 18 hari.

Institut latihan kemahiran teknikal di bawah Kerajaan Negeri berkata, pelajar turut dibekalkan pinjaman tablet iPad dan Macbook Pro, yang dikendalikan secara berkumpulan sepanjang tempoh latihan kursus berprofil tinggi itu bermula 4 hingga 23 September depan.

“Pelajar bakal dipinjamkan iPad dan MacBook Pro sepanjang tempoh latihan. Kursus cenderung kepada pembangunan laluan kerjaya sebagai pembangunan aplikasi profesional.

“Pelajar dikendalikan secara berkumpulan dan kurikulum disampaikan dalam kaedah ‘problem-based learning’ dengan pembangunan aplikasi menggunapakai teknologi Apple, pelantar iOS dan ‘swift coding’,” katanya di Facebook.

STDC turut memaklumkan, kursus itu terhad kepada 50 orang terawal dan keutamaan diberi kepada anak serta pemastautin Selangor.

Untuk maklumat lanjut, boleh hubungi Dr Harizal Hamid di talian 013-2897828 atau layari www.stdcx.edu.my.

Pada 14 Julai lalu, Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari memaklumkan Kerajaan Negeri melalui STDC menandatangani perjanjian dengan gergasi teknologi, Apple Inc, untuk bahasa pengaturcaraan ‘swift’, bagi meningkatkan kemahiran belia dalam sektor berkenaan.

Ia susulan kerjasama sebelum ini yang dilaksanakan STDC yang merupakan satu-satunya pusat latihan untuk bahasa pengaturcaraan ‘swift’ yang ada di Asia Tenggara.


Pengarang :