Persis muzium Baba Nyonya, ahli etnologi Dr David Neo menunjukkan corak popular dalam sulaman nyonya, hasil daripada pengaruh Cina, sementara corak floral pula merupakan pengaruh Melayu, dan bunga ros adalah pengaruh British ketika ditemui Bernama di kediamannya di USJ, Subang, Selangor. Foto BERNAMA
PENDAPATRENCANA

Sulaman nyonya simbol keharmonian pelbagai budaya Malaysia

Oleh Nina Muslim

KUALA LUMPUR, 22 OGOS: Persis muzium Baba Nyonya, ruang tamu kediaman ahli etnologi Dr David Neo sarat dengan barangan antik komuniti itu, termasuk sebuah kerusi panjang yang diperbuat daripada kayu berlakuer dan batu marmar.

Antara milikan berharga beliau itu yang sebahagiannya diwarisi daripada nenek moyang, Neo amat berbangga dengan sulaman nyonya. Menghiasi kebaya dan sapu tangan, sulaman dengan corak yang kompleks, dan ada juga yang ringkas, itu telah berusia lebih tujuh dekad – dihasilkan dalam era 1950-an.

“Anda boleh tengok betapa halusnya sulaman ini. Dihasilkan berpuluh tahun dahulu, coraknya bukan macam yang ada sekarang, iaitu bersifat generik (corak biasa yang mudah ditemukan),” katanya ketika ditemui Bernama di kediamannya di USJ, Subang, Selangor.

Sambil jarinya menyurih sulaman di atas sehelai kebaya, beliau berkata busana itu berusia kira-kira 100 tahun.

Persis muzium Baba Nyonya, ruang tamu kediaman ahli etnologi Dr David Neo menunjukkan gambar nenek moyangnya ketika ditemui Bernama di kediamannya di USJ, Subang, Selangor. Foto BERNAMA

Neo yang merupakan felow bersekutu di Institut Kajian Etnik, Universiti Kebangsaan Malaysia, mempunyai minat yang mendalam terhadap sulaman nyonya, beralaskan kenangan di zaman kanak-kanaknya melihat nyonya (wanita komuniti Baba) mengenakan kebaya bersulam.

Selain nilai estetik, sulaman nyonya juga adalah simbol status dalam komuniti Baba Nyonya dan memainkan peranan penting dalam masyarakat. Malah, kata Neo, ibu bapa juga menilai kesesuaian seseorang gadis yang mahu dijadikan menantu mereka berdasarkan kemahiran menyulam si gadis itu.

Aspek yang beliau suka tentang sulaman nyonya tradisional ialah paduan warna yang mewakili kebudayaan lain di Malaysia yang diterima guna oleh nenek moyangnya.

“Peranakan adalah contoh keharmonian pelbagai budaya,” katanya yang merupakan generasi ke-10 Baba Nyonya dari Melaka dan Singapura.

Kini beliau sedih apabila melihat seni sulaman tangan semakin lenyap, dan sebaliknya dihasilkan secara besar-besaran, yang menurut beliau menghapuskan aspek yang membuatkan satu-satu sulaman itu unik.

Seni semakin terhapus

Kebudayaan Baba Nyonya atau Cina Selat adalah gabungan kebudayaan Cina yang dibawa dari China dan kebudayaan tempatan di Malaya serta tempat lain di Asia Tenggara, di mana kaum Cina menetap. Mereka juga dipengaruhi oleh kebudayaan Eropah ketika zaman penjajahan.

Contohnya, bunga peony dan ikan emas, iaitu corak popular dalam sulaman nyonya, adalah hasil daripada pengaruh Cina, sementara corak floral pula merupakan pengaruh Melayu, dan bunga ros adalah pengaruh British.

Dari satu segi, sulaman yang merupakan antara aspek paling ketara dan terkenal dalam budaya Baba Nyonya, adalah lambang kepelbagaian budaya Malaysia.

“Memang amat muhibah,” kata Lilian Tong, Presiden Persatuan Peranakan Baba Nyonya Pulau Pinang.

Di sebalik kepentingan sulaman nyonya terhadap warisan budaya Malaysia, kebanyakan pakar melihat seni itu sebagai satu seni tradisional yang sedang pupus.

Persis muzium Baba Nyonya, ruang tamu kediaman ahli etnologi Dr David Neo menunjukkan bakul Cina lama yang merupakan barangan antik komuniti itu ketika ditemui Bernama di kediamannya di USJ, Subang, Selangor. Foto BERNAMA

Satu daripada faktornya ialah artisan atau penggiat seni itu tidak lagi secekap dahulu disebabkan oleh faktor usia, dan mereka juga tidak mempunyai pelapis yang dapat meneruskan seni tersebut.

Satu lagi faktor ialah upah tidak seberapa sedangkan kerja menyulam tersebut sangat rumit dan memakan masa.

“Mereka ini juga bekerja. Macam saya, walaupun berkemahiran menyulam, saya tidak boleh menyulam sepenuh masa,” kata Tong.

Pakar sulam yang ditemui Bernama berkata sehelai kain sulaman tangan berharga antara RM2,000 hingga RM5,000, bergantung pada kerumitan corak yang boleh mengambil masa berbulan-bulan untuk disiapkan.

Kata mereka, kerja itu juga memerlukan minat yang mendalam kerana bayaran yang diperoleh tidak setimpal dengan keringat yang dicurah.

Bagi memastikan kelangsungan seni itu, kerajaan telah melancarkan beberapa program untuk menggalakkan artisan menguasai kemahiran tersebut, serta memulihara dan mempromosi seni sulam.

Pengarah Seksyen Pemuliharaan Kraf, Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia (Kraftangan Malaysia) Nurlaili Mohamad Mohed berkata agensi itu mengiktiraf pakar sulaman nyonya selain melatih komuniti kraf baharu bagi memelihara kraf warisan tersebut.

Tambah beliau, agensi itu juga melantik Lim Swee Kim sebagai pakar kraf sulaman nyonya pada 2006 bagi melatih generasi baharu. Mesra dikenali sebagai Auntie Kim, Lim meninggal dunia pada 2014. Hingga kini kekosongan yang ditinggalkan oleh mendiang masih belum diisi.

Kelangsungan 

Kematian Lim merumuskan isu yang dihadapi, iaitu bagaimana kita dapat memastikan kelangsungan seni itu? Walaupun mendiang berjaya melatih beberapa pakar baharu seperti Yuliana Erya Surya daripada Arsyila Balqis Fashion yang meneruskan seni tersebut, masih ada kebimbangan tentang ketiadaan generasi pelapis.

Yuliana yang bersetuju tentang hal itu, berkata di sebalik usaha Kraftangan Malaysia untuk meneruskan seni berkenaan, sulaman nyonya semakin pupus.

“Tidak ramai yang menghasilkan sulaman nyonya sekarang. Peminat masih ramai namun pakar sulam hanya segelintir,” kata anak jati Johor itu.

Walaupun baru berusia 46 tahun, Yuliana berasa bimbang tenang siapa yang akan menggantikan beliau dan meneruskan seni itu. Beliau berharap dapat menurunkan kemahirannya kepada anak perempuannya yang kini berusia enam tahun.

Persis muzium Baba Nyonya, ruang tamu kediaman ahli etnologi Dr David Neo sarat dengan barangan antik komuniti itu, termasuk gambar nenek moyangnya yang dipamerkan ketika ditemui Bernama di kediamannya di USJ, Subang, Selangor. Foto BERNAMA

Menurut Yuliana, jika mahu melihat kelangsungan, seni itu perlu diperluas dan tidak dihadkan kepada satu kaum semata-mata.

“Saya tidak peduli siapa yang akan teruskan, Melayu ke, Cina ke, saya tidak kisah. Yang penting mereka suka menyulam,” katanya.

“Paling penting ialah mereka mempunyai minat mendalam,” celah suaminya Razali Shariff yang turut membantu Yuliana dalam kerja-kerja sulam.

Tong yang sependapat, berkata keengganan berkembang dan menyesuaikan diri adalah bertentangan dengan semangat etnik Baba Nyonya. Katanya, amalan sulaman nyonya di Malaysia juga agak ketat dan mengekang kreativiti.

“Anda tahu tak apakah yang akan dipakai oleh komuniti Baba Nyonya jika mereka tidak keluar dari kepompong? Mereka akan masih memakai baju panjang,” katanya. Baju panjang adalah tunik labuh dan longgar seperti baju kurung, yang dipakai bersama-sama kain sarung dan dikancing dengan tiga kerongsang.

– BERNAMA


Pengarang :