Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj berkenan menyampaikan titah ucapan pada Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan dan Ikrar Aku Janji di Istana Alam Shah, Klang pada 21 Ogos 2023. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONALPILIHAN MINGGUAN

Sultan: Cukup-cukuplah berpolitik, rakyat sudah penat, fikirkan masa depan

KLANG, 21 OGOS: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor menitahkan semua pihak supaya tidak bermain politik keterlaluan sebaliknya membawa Selangor maju dari segi pembangunan dan ekonomi.

Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj juga mahu perpaduan dalam kalangan penduduk berbilang kaum terpelihara supaya seluruh rakyat hidup selesa serta menikmati kemakmuran berpanjangan.

“Cukup-cukuplah kita berpolitik, rakyat dah penat, Beta pun dah penat dengar. Bangunlah Ahli-ahli Yang Berhormat semua, fikirkanlah masa depan negeri, negara dan masa depan anak cucu kita,” titah Baginda.

Baginda bertitah pada Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan dan Ikrar Aku Janji Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) di Istana Alam Shah di sini hari ini.

Sultan Selangor berharap Selangor bangkit dan maju dari segenap sudut termasuk pembangunan fizikal serta kerohanian selain pertumbuhan ekonomi mampan demi keselesaan seluruh rakyat.

Baginda juga menaruh harapan tinggi supaya ahli MMKN memberi perkhidmatan cemerlang termasuk turun ke padang selain menjaga integriti dengan menjauhi rasuah dan penyalahgunaan kuasa.

“Jauhilah diri dari segala perbuatan rasuah dan penyalahgunaan kuasa bagi kepentingan diri sendiri atau pihak-pihak tertentu semasa melaksanakan tugas mentadbir negeri,” titah Baginda.


Pengarang :