Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj pada Mesyuarat Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) ke-70 di Dewan Syarahan dan Muzakarah Islam Shah Alam, Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam, Selangor pada 28 Ogos 2023. Foto Facebook Selangor Royal Office
AGENDABERITA UTAMANASIONALPILIHAN MINGGUAN

Sultan gesa polis kesan pemfitnah sekolah agama persendirian ditutup

SHAH ALAM: Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor berharap polis segera mengesan kumpulan yang melempar fitnah kononnya pusat tahfiz dan sekolah agama persendirian di negeri ini ditutup.

Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj bertitah tohmahan itu menimbulkan kerisauan ibu bapa dan menghakis kepercayaan umat Islam terhadap institusi dan pihak berkuasa agama di negeri ini.

Baginda menitahkan golongan yang melempar fitnah tersebut agar memberhenti perbuatan khianat dan tidak bertanggungjawab itu sebaliknya mendapatkan fakta tepat sebelum membuat tuduhan.

“Beta mohon pihak polis segera mengesan kumpulan pemfitnah ini dan mengambil tindakan undang-undang terhadap mereka.

“Pada hakikatnya, Beta menitahkan agar langkah pemutihan diambil terhadap sekolah-sekolah agama dan tahfiz swasta dan persendirian tidak berdaftar dengan mengarahkan pendaftaran dibuat.

“(Ini) bagi memastikan sekolah-sekolah ini selamat dari segi ciri-ciri keselamatannya dan mempunyai suasana pembelajaran selesa untuk pelajar menimba ilmu,” titah Baginda.

Sultan Selangor yang juga pengerusi Mesyuarat Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) bertitah demikian dalam mesyuarat MKI ke-70 di sini hari ini.

Titah itu merujuk fitnah terhadap pihak berkuasa agama negeri dan pihak berkuasa tempatan Selangor kononnya lebih 200 sekolah tahfiz diarah tutup hingga mengakibatkan beribu-ribu pelajar hilang tempat belajar.

Menjelang pilihan raya negeri (PRN) baru-baru ini, beberapa badan bukan kerajaan mendakwa kononnya Kerajaan Selangor menutup sekolah agama persendirian di negeri ini.

Pada 6 Julai, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menegaskan tiada satu pun notis penutupan dibuat. Beliau juga terpaksa mengulangi penafian itu berikutan fitnah tersebut berterusan selepas PRN.


Pengarang :