SHAH ALAM, 29 OGOS: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor berkenan mengurniakan watikah pelantikan anggota Majlis Agama Islam Selangor (Mais) kepada EXCO agama baharu hari ini.
Dalam majlis istiadat yang berlangsung di Istana Kayangan di sini, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj menyerahkan watikah berkenaan kepada Dr Mohammad Fahmi Ngah bagi penggal 2021-2023.
Baginda turut menyerahkan watikah pelantikan anggota panel tetap hakim rayuan syariah negeri 2023-2026 kepada Ketua Hakim Syarie Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia Datuk Mohd Amran Mat Zain.
Turut menerima watikah sama ialah Hakim Syarie Noor Hadina Ahmad Zabidi dan Datuk Abas Nordin, selain enam individu dari Jabatan Kehakiman Syariah Selangor membabitkan pelbagai jawatan.
Mereka ialah Ketua Pendaftar Mahkamah Rayuan Nenney Shuhaidah Shamsuddin, Timbalan Ketua Pendaftar Mahkamah Rayuan Syariah Marina Abdul Rahmah dan Hakim Mahkamah Rendah Syariah Mohd Saifullah Hamzah.
Dalam majlis sama, watikah lantikan timbalan pendaftar Mahkamah Tinggi Syariah negeri diberikan kepada Mohamed Hizwan Mohamed Noor, Abdul Majid Abdul Rahman dan Siti Nazratul Ain Sulaiman.
Sebelas pegawai Jabatan Agama Islam Selangor pula menerima watikah pelantikan pendaftar kanan perkahwinan cerai dan rujuk orang Islam serta pendaftar (wali raja).
Istiadat tersebut disaksikan Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari dan Pengarah Jais Dato’ Mohd Shahzihan Ahmad.