DYMM Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj dan DYMM Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin berkenan menzahirkan ucapan Selamat Menyambut Hari Kebangsaan ke-66 kepada seluruh rakyat Selangor khususnya dan Malaysia amnya. Foto Facebook Selangor Royal Office
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Sultan: Suburkan perpaduan, elak fitnah gugat kemakmuran negara

SHAH ALAM, 30 OGOS: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor mahu rakyat menzahirkan semangat patriotisme dalam perpaduan jitu dan keharmonian utuh demi mengekalkan kemakmuran ekonomi negara.

Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj bertitah erti sebenar hidup dalam suasana merdeka dan bersatu padu yang dijulang dapat mengelak sebaran kebencian dan fitnah yang boleh mengganggu-gugat keamanan.

“Baginda mahu semangat ini dizahirkan dalam bentuk perpaduan yang jitu dan keharmonian yang utuh, demi mengekalkan kemakmuran ekonomi negara dan kesejahteraan masyarakat secara keseluruhannya.

“Titah Baginda, apabila rakyat menjulang erti sebenar hidup dalam suasana merdeka dan bersatu padu, maka tidak akan ada lagi mana-mana pihak atau kaum tergamak menyebarkan kebencian dan fitnah yang boleh mengganggu-gugat keamanan,” menurut kenyataan Selangor Royal Office di Facebook.

Titah Baginda bersama DYMM Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin sempena sambutan Hari Kebangsaan ke-66 bertemakan Malaysia Madani: Tekad Perpaduan Penuhi Harapan.

Dalam pada itu, Baginda turut menyeru barisan kepimpinan negara berusaha menjana kembali aspirasi ekonomi rakyat dengan melaksanakan semua keputusan rancangan pembangunan dengan cepat dan tepat.

“Baginda mahu agar Malaysia kembali menjadi sebuah negara merdeka yang berdaya maju serta disegani di peringkat antarabangsa, khususnya dalam sektor pelaburan dan ekonomi,” menurut kenyataan itu.

Tema Hari Kebangsaan 2023 mendasari komitmen pemimpin bersama rakyat sebagai negara bangsa yang memiliki perpaduan tinggi, bersatu-padu serta kehidupan aman dan sejahtera.

 


Pengarang :