Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj ketika berangkat ke Mesyuarat Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) ke-70 di Dewan Syarahan dan Muzakarah Islam Shah Alam, Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam, Selangor pada 28 Ogos 2023. Foto Facebook Selangor Royal Office
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Sultan titah daftar segera pusat tahfiz, sekolah agama persendirian

SHAH ALAM, 28 OGOS:  Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor menyeru institusi tahfiz swasta dan persendirian yang belum berdaftar dengan pihak berkuasa agama Islam negeri untuk segera melaksanakannya.

Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj bertitah perkara itu penting supaya bantuan dan peruntukan dapat disalurkan seperti yang diterima oleh institusi pendidikan Islam berdaftar

“Beta juga mencadangkan agar Jabatan Kemajuan Islam Malaysia menyediakan kertas kerja bagi membuat dasar dan prosedur yang komprehensif bagi pendaftaran institusi-institusi tahfiz swasta dan persendirian untuk diguna pakai di setiap negeri, ” titah Baginda.

Sultan Selangor yang juga pengerusi Mesyuarat Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) bertitah demikian dalam mesyuarat MKI ke-70 di sini hari ini.

Pada 17 Ogos, pengerusi Persatuan Institusi Tahfiz Al-Quran Selangor (Pitas) berkata hampir 50 maahad tahfiz persendirian didaftar penuh selaras garis panduan pemutihan sekolah agama, yang dikuat kuasa Kerajaan Negeri mulai 1 Januari 2021.

Jelas Mohamad Hafiz Haneefa, pendaftaran 300 pusat tahfiz dan sekolah agama akan dibuat secara berperingkat dalam fasa dua.

Pada 27 Jun, Kerajaan Selangor juga memberi kelonggaran dengan melanjutkan tempoh pendaftaran 55 sekolah agama persendirian untuk beroperasi sekurang-kurangnya hingga tahun depan.

Menjelang pilihan raya negeri (PRN) baru-baru ini, beberapa badan bukan kerajaan mendakwa kononnya Kerajaan Selangor menutup sekolah agama persendirian di negeri ini.

Pada 6 Julai, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menegaskan tiada satu pun notis penutupan dibuat. Beliau juga terpaksa mengulangi penafian itu berikutan fitnah tersebut berterusan selepas PRN.


Pengarang :