Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan menyampaikan titah ucapan pada Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan dan Ikrar Aku Janji di Istana Alam Shah, Klang pada 21 Ogos 2023. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Sultan titah pulih ekonomi, titik berat isu kos sara hidup

SHAH ALAM, 21 OGOS: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor menitahkan Kerajaan Negeri untuk memberi tumpuan kepada usaha pemulihan ekonomi dan kos sara hidup rakyat.

Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj bertitah isu berkenaan perlu diberi keutamaan bagi mengelak rakyat terbeban dengan kemelesetan ekonomi yang mencabar ketika ini.

Baginda juga berharap kerajaan yang dibentuk segera mengatasi kepincangan yang ada dalam kehidupan rakyat di Selangor khususnya dari segi infrastruktur dan pembangunan.

“Adalah menjadi keutamaan Beta agar pihak kerajaan menyelesaikan segera masalah berkaitan kehidupan harian rakyat,” titah Baginda.

Baginda bertitah pada istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan dan Ikrar Aku Janji Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) di Istana Alam Shah di sini hari ini.

Sultan Sharafuddin juga mahu Kerajaan Negeri memberi penekanan terhadap isu banjir yang sering melanda dengan membuat rancangan jangka pendek, sederhana dan panjang.

Baginda bertitah kerajaan perlu memenuhi keperluan rakyat dan tidak hanya berbangga dengan pencapaian ekonomi pesat dan status negeri kaya.

“Beta menaruh harapan yang tinggi untuk Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian bagi memberi perkhidmatan yang cemerlang dengan turun ke padang bagi melihat sendiri keadaan pembangunan yang dirancang dan sedang berjalan,” katanya.


Pengarang :