Pua Pei Ling menemui orang ramai ketika kempen pilihan raya negeri pada 11 Ogos 2023. Foto Facebook Pua Pei Ling
ADNSELANGOR

Tangani isu penduduk Bukit Lanjan, bentuk pasukan perkhidmatan

SHAH ALAM, 15 OGOS: Wakil rakyat Bukit Lanjan yang baharu dipilih akan segera membentuk pasukan perkhidmatan bagi mengenal pasti dan menangani isu penduduk di kawasan itu.

Pua Pei Ling melihat keperluan menubuhkan pasukan khas yang dianggotainya termasuk mantan Ahli Dewan Negeri (ADN) Elizabeth Wong berikutan Bukit Lanjan kawasan DUN dengan jumlah pemilih tertinggi.

“Pasukan perkhidmatan ini akan berinteraksi dengan lebih ramai pemilih terutama golongan berpendapatan rendah (B40) dan membantu mereka mengatasi masalah ekonomi.

“Perhatian khusus akan diberikan kepada isu pengangkutan awam seperti masalah batuan awal dan batuan akhir (first and last mile) kerana Bukit Lanjan kawasan bandar, jadi isu tempatan tidak banyak,” katanya ketika dihubungi.

Beliau juga berazam memberi perkhidmatan terbaik kepada segenap lapisan masyarakat di Bukit Lanjan dalam tempoh lima tahun ini.

“Kali ini saya memiliki peluang untuk maju dalam bidang politik. Terima kasih kepada pengundi Bukit Lanjan kerana memilih saya sebagai ADN.

“Saya dan pasukan akan berusaha sehabis baik untuk berkhidmat dengan tulus ikhlas kepada semua,” katanya.

Pada pilihan raya negeri Sabtu lalu, Pei Ling menewaskan Muniraa Abu Bakar daripada Perikatan Nasional (PN) dengan majoriti 41,227 undi.


Pengarang :