Ketua Pegawai Eksekutif Selangor FC Dr Johan Kamal Hamidon ketika di temubual Media Selangor di Pusat Latihan Selangor FC, Shah Alam pada 9 Ogos 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Tawaran kembalikan kegemilangan bola sepak negeri selaras hasrat Raja Muda

SHAH ALAM, 9 OGOS: Rancangan bagi mengembalikan kegemilangan pasukan bola sepak Selangor FC dalam tempoh lima tahun ini selari matlamat Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Tengku Amir Shah, presiden Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS).

Ketua pegawai eksekutif Selangor FC menjelaskan Baginda bukan sahaja mahu Reds Giant menempa kejayaan dalam saingan liga domestik sebaliknya menembusi peringkat Asia dan antarabangsa.

Dr Johan Kamal Hamidon berkata Tawaran Kita Selangor membantu usaha menjayakan hasrat tersebut sekali gus meletakkan pasukan pimpinan jurulatih Tan Cheng Hoe ke tahap lebih tinggi.

“Manifesto itu selari visi dan misi Raja Muda yang inginkan pasukan kita terbang lebih jauh. Sasaran sudah ada, jadi dengan aspirasi Pakatan Harapan dan Barisan Nasional, ia jadi kesinambungan.

“Ini dianggap pengiktirafan kepada sukan. Selepas ini, kita boleh duduk semeja bersama semua pihak untuk langkah seterusnya,” katanya kepada Selangorkini.

Memperkasa bakat baharu menerusi Akademi Merah Kuning seterusnya menyasar untuk menjuarai Piala Malaysia, Sukan Malaysia (SUKMA) dan Piala AFC terkandung dalam Tawaran Kita Selangor.

Johan juga percaya berkata insiatif sedemikian membantu Selangor FC memainkan peranan sebagai wadah perpaduan pelbagai kaum menerusi bidang sukan.

“Sukan terutama bola sepak tidak hanya relevan dengan kegiatan sihat, riadah, perlawanan dan kesihatan sahaja tetapi sebagai satu sudut yang mampu menyatupadukan rakyat serta sosial.

“Kami melihat peranan ini sesuatu yang penting kepada masyarakat, bukan hanya mahu menjulang piala semata. Jadi kita sangat menghargai peluang yang diberikan Kerajaan Negeri,” katanya.

Pada 31 Julai, Pengerusi HARAPAN negeri yang juga Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari melancarkan tawaran itu merangkumi banyak sektor penting bagi meneruskan kemajuan sedia ada.

Sebahagian kandungan yang terdiri daripada lima teras telahpun dimulakan pentadbiran Dato’ Menteri Besar itu manakala ada program termuat dalam Rancangan Selangor Pertama (RS-1).


Pengarang :