Calon Pelabuhan Klang Azmizam Zaman Huri (kiri) bertanya khabar ibu bapa yang mengambil anak dari sekolah di Jalan Pandamaran Jaya pada 31 Julai 2023. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/SELANGORKINI
ADNSELANGOR

Tawaran lima tahun negeri lonjak sokongan pengundi Pelabuhan Klang

OLEH ABDUL RAHIM SABRI

SHAH ALAM, 8 OGOS: Tawaran Kita Selangor yang dilancar pada 31 Julai melonjak sokongan pengundi Pelabuhan Klang kepada penyandangnya Azmizam Zaman Huri.

Mempertahan kerusi itu, beliau percaya lebih 23,000 pengundi sedia memberi sokongan kepada Pakatan Harapan (HARAPAN) selepas seminggu berkempen berdasarkan culaan jentera parti.

“Saya yakin dengan manifesto yang dilancarkan pada 31 Julai, rakyat menerimanya dengan baik. Itu yang menjadi sebab peningkatan penyokong yang akan undi HARAPAN,” katanya pada 4 Ogos.

Azmizam menyifatkan situasi tersebut petanda positif menjelang hari pengundian pada 12 Ogos. Seramai 51,907 pengundi berdaftar di Pelabuhan Klang pada pilihan raya negeri (PRN) kali ini.

Pada pilihan raya umum lalu, beliau menang dengan majoriti 6,422 undi dalam persaingan empat penjuru.

Kali ini, beliau berdepan Wan Hasrina Wan Hassan dari Perikatan Nasional dan Syed Ahmad Putra (Parti Rakyat Malaysia) dalam pertandingan tiga penjuru.

Tawaran terdiri daripada lima teras yang dilancarkan Pengerusi HARAPAN negeri Dato’ Seri Amirudin Shari memuatkan pelbagai bentuk bantuan dan perancangan bagi membangunkan negeri.

Dokumen itu merangkumi banyak sektor penting bagi meneruskan kemajuan sedia ada. Sebahagian daripadanya telah dimulakan manakala ada program termuat dalam Rancangan Selangor Pertama (RS-1).


Pengarang :