Pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN) Selangor Dato’ Seri Amirudin Shari berucap ketika ceramah Arus Merah Kuning di Dataran Sadiman Bukit Changgang, Sepang pada 7 Ogos 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Tawaran lima tahun negeri miliki pelan teratur, rancak ekonomi setempat

BANTING, 8 OGOS: Tawaran Kita Selangor dibentang Pakatan Harapan (HARAPAN) dan Barisan Nasional (BN) mempunyai pelan teratur demi kemajuan negeri, bukan sekadar menabur janji.

Mengambil contoh pembinaan jajaran rel dari lapangan terbang ke Tanjong Sepat dan Sungai Pelek, pengerusi HARAPAN Selangor berkata projek itu mampu merancakkan ekonomi terutama pelancongan.

Dato’ Seri Amirudin Shari juga yakin pelaksanaan projek itu mampu meningkatkan nilai hartanah di kedua-dua kawasan selain mengurangkan penghijrahan anak muda ke bandar untuk bekerja.

“Ini semua dibuat kerana kita ada pelan dan perancangan yang teratur. Sebab itu bila saya tengok tawaran dibuat PN, mereka tidak fikir bagaimana mahu selamatkan dan bangunkan ekonomi.

“Tawaran (PN) jadi macam ‘santa claus’, mahu bagi RM2,000, RM500, RM300. Apa lagi istimewa? Ini ke yang mahu jadikan Selangor sebagai ‘super state’?,” katanya dalam ceramah malam tadi.

Dato’ Menteri Besar menambah Rancangan Selangor Pertama (RS-1) yang diumum Julai tahun lalu turut merangsang ekonomi negeri menerusi beberapa projek utama di Sepang dan Kuala Langat.

Menurutnya, projek Wilayah Pembangunan Bersepadu Selatan (IDRISS) seluas 16,000 hektar bakal
mewujudkan pelabuhan ketiga, hab logistik dan kawasan perkilangan baharu.

“Di Kuala Langat dan kawasan sekitar pula menghimpunkan syarikat kertas kitar semula terbesar di Asia Pasifik. Ini bukti kita ada rencana, bukan hanya menggadai serta menjual janji,” katanya.

Pada 31 Julai, Amirudin melancarkan Tawaran Kita Selangor Lima Tekad Untuk Lima Tahun Kegemilangan Selangor merangkumi banyak sektor penting bagi meneruskan kemajuan sedia ada.

Sebahagian kandungan terdiri daripada lima teras sudah dimulakan pentadbirannya, manakala ada program termuat dalam pelan pembangunan lima tahun negeri menerusi RS-1.


Pengarang :