Duli Yang Maha Mulia Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin berkenan melawat gerai pameran sempena kempen Potong Royong program pemandulan anjing dan kucing Majlis Perbandaran Klang di Dewan Ambang Botanik 2, Klang pada 23 Ogos 2023. FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
PBTSELANGOR

Tengku Permaisuri Selangor berkenan hadir program Potong Royong

KLANG, 23 OGOS: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Tengku Permaisuri Selangor berkenan hadir ke Program ‘Potong Royong’ iaitu kempen pemandulan kucing dan anjing di Dewan Ambang Botanik 2, di sini, hari ini.

Tengku Permaisuri Norashikin turut berkenan mengunjungi aktiviti pemeriksaan kesihatan kucing dan anjing, pemandulan kucing dan anjing, pemasangan microchip dan pasport haiwan dan pameran.

Baginda turut meluangkan masa beramah mesra dengan pengunjung sebelum meninggalkan Dewan Ambang Botanik pada jam 12 tengah hari.

Doktor haiwan veterina sedang melakukan proses pemandulan terhadap kucing yang dihantar pengunjung ketika kempen Potong Royong program pemandulan anjing dan kucing Majlis Perbandaran Klang di Dewan Ambang Botanik 2, Klang pada 23 Ogos 2023. FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Klang (MPK) Noraini Roslan berkata program yang dianjurkan untuk mendidik masyarakat mengurangkan populasi haiwan terbiar khusus di kawasan pentadbirannya.

“Program ini juga merupakan kempen kesedaran buat warga Klang kerana kebanyakan kes pemilik tidak sanggup lagi untuk bela mereka buang sahaja sehingga haiwan terbiar.

“Saya memberi komitmen akan memberi satu peruntukan untuk mengulangi program ini tahun hadapan kerana sambutannya sangat baik,” katanya selepas lawatan berkenaan.

Program yang berlangsung pada 22 hingga 23 Ogos untuk pemandulan kucing manakala pemandulan anjing akan diadakan 24 hingga 27 Ogos setiap 9 pagi hingga 5 petang melibatkan 10 sukarelawan doktor bertauliah dan 50 pelajar veterinar dari Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Universiti Malaysia Kelantan (UMK).

Pengunjung menunjukkan kucing peliharaan mereka ketika kempen Potong Royong program pemandulan anjing dan kucing Majlis Perbandaran Klang di Dewan Ambang Botanik 2, Klang pada 23 Ogos 2023. FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Program tersebut merupakan anjuran bersama Persatuan Pencegahan Haiwan Malaysia (SPCA) dan Persatuan Perubatan Veterinar Malaysia (MAVMA).

Pencinta haiwan berpeluang menerima harga istimewa RM30 untuk pemandulan kucing dan pemandulan anjing pula dikenakan bayaran RM80 tetapi subsidi diberikan di bawah pendanaan ‘Stray Free Selangor’ naungan Tengku Permaisuri Selangor.


Pengarang :