Aliran air keruh Sungai Selangor yang dirakam pada 12 Ogos 2023. Foto Facebook Lembaga Urus Air Selangor
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Tindakan pantas LUAS atasi air keruh di Sungai Selangor

SHAH ALAM, 13 OGOS: Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) berjaya mengatasi aliran air keruh yang tinggi di Sungai Selangor, semalam.

EXCO Alam Sekitar memaklumkan LUAS segera mengaktifkan pelepasan air dari ‘Hybrid off River Augmentation System’ (HORAS) 600 dan kolam sumber air alternatif di Bestari Jaya.

Hee Loy Sian berkata pelepasan air dengan jumlah keseluruhan 900 juta liter sehari (JLH) itu dibuat bagi meningkatkan kadar pencairan di Sungai Selangor.

“Dalam masa sama, dua pintu di Baraj Bestari Jaya dibuka bagi mempercepatkan pencairan dan aliran keluar air kelodak ke hilir Sungai Selangor.

Penguat kuasa mengambil sampel air sungai bagi mengatasi masalah aliran air keruh di Sungai Selangor pada 12 Ogos 2023. Foto Facebook Lembaga Urus Air Selangor

“Bermula jam 5.55 petang semalam, bacaan kekeruhan di Sungai Selangor kembali menurun di bawah 1000 tingkat kekeruhan air (NTU) dan dijangka terus menurun sehingga ke bacaan normal,” katanya menerusi kenyataan media.

Loy Sian menjelaskan, aliran kekeruhan yang tinggi sehingga 6,000 NTU di Sungai Selangor itu mula dikesan LUAS pada jam 10.30 pagi semalam.

Beliau menambah, kejadian itu dipercayai berpunca daripada kesan aliran kepala air yang menyebabkan hakisan tanah di hulu kawasan alur Sungai Kerling di Hutan Simpan Gading, Hulu Selangor.

“LUAS akan terus membuat pemantauan di tapak sehingga isu kekeruhan ini selesai dan keadaan Sungai Selangor kembali normal,” katanya.


Pengarang :