Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari pada sidang media di pusat khidmat rakyat Parlimen Gombak pada 8 Ogos 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Tuduhan tidak berasas dijawab berulang kali, PN kitar semula fitnah

GOMBAK, 8 OGOS: Tuduhan yang dilempar Perikatan Nasional berkaitan projek pembangunan Sungai Klang Gerbang Maritim Selangor (SMG) dan kuari Hutan Simpan Bukit Lagong telah dijawab berulang kali.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menyifatkan pembangkang hanya mengitar semula dakwaan berkenaan kebelakangan ini untuk dijadikan modal kempen pilihan raya negeri.

“Panjang lebar dijelaskan oleh EXCO (Ir) Izham (Hashim) dalam sidang dewan negeri, 45 minit untuk SMG sahaja. Saya juga sudah terangkan dalam (sidang media) parlimen selama satu jam.

“Bukit Lagong juga sudah dijawab berulang kali, dalam hansard (ucapan perbahasan), dia (pelempar fitnah) boleh cari data guna SSM (Sijil Syarikat Malaysia) tapi hansard tidak baca?

“Nampak sangat PN terdesak untuk cipta gelombang di Selangor hingga wujud dakwaan tidak berasas. 600 ekar tanah percuma? Sangat tidak berasas,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Pada 4 Ogos, Amirudin bersedia mengambil tindakan undang-undang terhadap Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berhubung ucapannya di Jitra, Kedah pada dua hari sebelumnya.

Semalam, Penasihat Berjaya Corporation Berhad Tan Sri Vincent Tan Chee Yioun dan Berjaya Land Berhad, yang terlibat dalam projek SMG, menuntut permohonan maaf secara terbuka dan pampasan ganti rugi RM200 juta daripada Sanusi.

Pada 3 Ogos, Landasan Lumayan Sdn Bhd (LLSB) sebagai peneraju SMG menyaman mereka yang melempar fitnah terhadap usahanya memulihara dan membangunkan Sungai Klang.

Pada 5 Ogos, Berjaya Land menjawab satu persatu kenyataan palsu yang dibuat Sanusi:

1. Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI tidak menjual 55 peratus sahamnya dalam anak syarikat miliknya kepada Berjaya Land

2. Syarikat bertujuan khas Landasan Lumayan Berjaya Sdn Bhd (LLBSB) dibentuk melalui usaha sama LLSB (45 peratus), anak syarikat penuh MBI, dan Berjaya Hartanah Berhad (55 peratus)

3. Selain membersihkan dan membangunkan Sungai Klang, usaha sama itu juga untuk menyediakan projek perumahan mampu milik

4. Projek SMG mendapat pengiktirafan Green World Awards 2023 atas usahanya membersihkan Sungai Klang

5. Berjaya Land dan/atau syarikat berkaitannya tidak pernah mendapatkan atau diberikan tanah seluas 600 ekar bernilai RM10 bilion

6. Beberapa bidang tanah seluas 103.6 ekar diluluskan oleh Kerajaan Negeri kepada LLBSB setelah tanah tersebut didapati bersesuian untuk pembangunan

7. Berjaya Land dikehendaki mengumpul dana untuk membayar premium bagi pemindahan hak milik tanah tersebut berdasarkan kadar harga pasaran

8. Berjaya Land dan/atau syarikat berkaitannya tidak mendapat tanah 600 ekar

9. Negeri Selangor tidak mengalami kerugian RM180 juta daripada tanah yang diberikan itu

10. Hanya 103.6 ekar tanah diluluskan untuk usaha sama tersebut dan akan menjelaskan premium tanah RM113.1 juta mengikut nilai pasaran semasa seperti ditentukan Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta


Pengarang :