Naib Canselor Universiti Islam Selangor (UIS), Prof Madya Dato’ Dr Mohd Farid Ravi Abdullah (tengah) bergambar bersama penggiat industri selepas majlis pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) dan memorandum perjanjian (MoA) pada 31 Julai 2023. Foto Facebook Universiti Islam Selangor
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

UIS meterai MoU, MoA, jamin kebolehpasaran graduan dalam industri halal

SHAH ALAM, 14 OGOS: Universiti Islam Selangor (UIS) memeterai memorandum persefahaman (MoU) dan memorandum perjanjian (MoA) dengan penggiat industri bagi menjamin kebolehpasaran graduan dalam industri halal.

Unit Komunikasi Korporat UIS memaklumkan MoU ditandatangani bersama empat entiti termasuk Institut Juruaudit Dalaman Malaysia, Halal International Selangor (HIS) Toyyiba Sdn Bhd, Azzuha Group Travel dan Halal Development Corporation (HDC).

MoA bernilai RM695,000 pula dimeterai antara Pusat Inovasi Teknologi Islam (IICT) UIS dengan Mikaza DRG Sdn Bhd bagi kerjasama pembangunan portal pembelajaran Inisiatif Kemahiran Teknikal Dan Iktisas Smart Selangor (IKTISASS) melibatkan pembangunan aplikasi, pengurusan pembelajaran dan bakat.

“Pemeteraian ini memberi pendedahan dan kemahiran yang kompeten kepada pelajar selari keperluan industri.

“Ia juga dapat menjamin kebolehpasaran graduan dalam industri halal serta melengkapkan keperluan ekosistem dan rantaian bekalan halal yang lebih holistik dan terpelihara,” katanya dalam kenyataan.

Menurutnya, memorandum itu juga bagi pembangunan modul bimbingan umrah dan ziarah pentauliahan mutawwif dengan Sijil Kemahiran Malaysia di UIS.

Memorandum ditandatangani Naib Canselor UIS, Prof Madya Dato’ Dr Mohd Farid Ravi Abdullah bersama penggiat industri yang terlibat.


Pengarang :