Kakitangan Majlis Agama Islam Selangor (Mais) memberi penerangan kepada peserta ketika Majlis Seminar Harta Pusaka sempena bulan faraid Negeri Selangor di Dewan Syarahan & Muzakarah Islam, Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 21 Ogos 2023. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Umat Islam makin cakna ilmu faraid, urus harta pusaka

SHAH ALAM, 22 OGOS: Lebih 5,000 individu hadir ke Majlis Agama Islam Selangor (Mais) bagi mendapatkan khidmat nasihat berhubung pengurusan harta pusaka menggunakan sistem faraid.

Pengarah Baitulmal Mais lndera Shahril Mohd Shahid berkata jumlah itu semakin meningkat dari semasa ke semasa selepas pelaksanaan bulan Faraid sejak tiga tahun lalu.

“Kira-kira 20 individu setiap hari datang ke ibu pejabat untuk rujukan dan ia tidak termasuk di baitulmal daerah-daerah yang juga terdapat pegawai. Pada masa ini, lebih 5,000 hadir merujuk kepada Mais untuk pembahagian harta pusaka.

“Mais turut menerima pengunjung luar Selangor seperti Kedah, Kelantan, Terengganu dan Perak. Mereka datang untuk mendapatkan panduan bagaimana hendak selesaikan masalah pembahagian dengan waris,” katanya pada Seminar Harta Pusaka sempena bulan Faraid Negeri Selangor hari ini.

Pengarah Baitulmal Majlis Agama Islam Selangor (Mais) lndera Shahril Mohd Shahid (kanan) bersama Timbalan Setiausaha (Operasi) Norzaihan Mohd Zain ketika melancarkan Seminar Harta Pusaka sempena bulan Faraid Negeri Selangor di Dewan Syarahan & Muzakarah Islam, Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 21 Ogos 2023. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Mengulas lanjut, Indera Shahril menjelaskan kepentingan pengurusan harta menggunakan faraid bagi mengelak berlakunya pengambilan harta secara haram.

“Kebanyakan kes diterima waris-waris memiliki harta atas pemilikan tidak sempurna. Kita khuatir waris-waris termakan harta secara haram, mengambil hak anak yatim.

“Bagi memastikan perkara ini terus terpelihara, penting ilmu faraid ini agar masyarakat tidak mengambil harta secara haram atau merampas hak orang lain,” katanya.

Kempen Bulan Faraid Negeri Selangor dilancar pada 2021 bagi memupuk kesedaran masyarakat cintakan ilmu faraid yang kian dilupakan kini.


Pengarang :