Oleh JULIANA JOHAR
SHAH ALAM, 29 OGOS: Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) menganjurkan program gotong-royong membersihkan Pantai Redang, Sekinchan pada 27 Ogos.
Aktiviti khidmat masyarakat agensi berkenaan turut disertai Ahli Dewan Negeri Sekinchan Ng Suee Lim dan sekumpulan mahasiswa dari UniKL Business School.
“Program yang diadakan ini adalah untuk memupuk dan meningkatkan kesedaran kepada orang awam tentang kepentingan penjagaan pantai sebagai tempat riadah.
“Ia juga bertujuan memupuk rasa cintakan alam sekitar kerana pantai juga adalah antara sumber air,” menurut agensi itu di Facebook.
![](https://selangorkini.my/wp-content/uploads/2023/08/370820126_682073310633333_3900415163279015620_n-500x375.jpg.webp)
Aktiviti mengutip sampah diadakan di sekitar pesisir pantai berkenaan yang menjadi antara lokasi tumpuan orang ramai beriadah dan sering dikunjungi ketika hujung minggu.
Dalam program sama, kakitangan LUAS turut mengedarkan risalah hebahan penjagaan sumber air kepada orang awam yang beriadah di pantai berkenaan.
![](https://selangorkini.my/wp-content/uploads/2023/08/370965874_682073150633349_9065748357878589565_n-500x375.jpg.webp)