Ahli Dewan Negeri Sekinchan Ng Suee Lim (dua, kanan) bermesra dengan penduduk setempat selepas dipilih sebagai wakil rakyat bagi penggal kelima pada pilihan raya negeri (PRN) lalu. Foto Facebook Ng Suee Lim
ADNSELANGOR

Wakil rakyat Sekinchan azam majukan industri pelancongan

SHAH ALAM, 15 OGOS: Ahli Dewan Negeri (ADN) Sekinchan berazam untuk terus memperkasa industri pelancongan di kawasan itu bagi meningkatkan ekonomi penduduk setempat.

Sebagai permulaan, Ng Suee Lim berkata pihaknya akan memasang skrin diod pemancar cahaya (LED) bersaiz besar di laluan utama Sekinchan sebelum akhir tahun ini.

Menurutnya, pemasangan skrin dengan kos hampir RM500,000 diluluskan Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan baru-baru ini bakal menaikkan imej kawasan tersebut.

“Apabila siap, ia akan memaparkan video dan gambar-gambar keindahan Sekinchan serta informasi menarik mengenai kawasan sekitar,” katanya ketika dihubungi.

Suee Lim menambah usaha memperkasa industri pelancongan Sekinchan merupakan satu daripada Lima Tekad yang dilancarkan sempena pilihan raya negeri (PRN) lalu.

Jelasnya, kawasan wilayah utara Selangor memiliki banyak tempat menarik, selain sektor pertanian dan perikanan yang semakin berkembang maju.

“Kami juga berhasrat melancarkan pakej pelancongan Anjung Utara Kuala Selangor-Sekinchan, bertujuan menarik pelancong untuk bermalam dan bukan hanya sekadar singgah,” katanya.

Suee Lim memenangi kerusi Sekinchan bagi penggal kelima berturut-turut menewaskan pencabarnya dari Perikatan Nasional Goh Gaik Meng dengan majoriti 4,018 dalam PRN 12 Ogos.


Pengarang :