Pengurus Besar Yayasan Islam Darul Ehsan, Nur Mohd Razali Abdullah (dua, kanan) menunjukkan replika model projek pembangunan Kompleks Asrama Anak Yatim Pulau Indah di ibu pejabat Yayasan Islam Darul Ehsan (Yide) pada 10 Februari 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

Yide anjur makan malam amal, kumpul dana bina kompleks anak yatim

SHAH ALAM, 26 OGOS: Yayasan Islam Darul Ehsan (Yide) menganjurkan majlis makan malam amal pada 17 September bagi mengumpul dana pembinaan Kompleks Asrama Anak Yatim Pulau Indah, Klang.

Agensi itu memaklumkan, Malam AgungNya Cinta 2023 menggabungkan acara makan malam elegan dengan pelbagai acara dan persembahan menarik.

“Antara persembahan termasuk penceritaan kisah hidup Nabi Muhammad yang juga anak yatim disampaikan ikon Mahabbah Yide, Ustaz Don Daniyal Don Biyajid dan Pencetus Ummah (PU) Akram.

“Selain itu persembahan oleh kumpulan nasyid popular tanah air seperti Hijjaz, Unic dan Naim Daniel,” katanya di Facebook.

Menurut Yide tiket makan malam amal bernilai RM499 dan mereka yang berminat boleh berinfaq di pautan pay.infaqyide.com.my atau hubungi talian 03-3345 9900 (ibu pejabat) dan 017-756 9451 (Haniff).

“Setiap sumbangan yang diinfaqkan layak mendapat potongan cukai pendapatan di bawah Subseksyen 44(6) Akta Cukai Pendapatan 1967,” katanya.

Menurutnya, pembinaan kompleks asrama yang mampu menempatkan kira-kira 200 anak yatim lelaki membabitkan kos RM13.75 juta dengan dana terkumpul setakat ini RM8.7 juta.

“Kerja awalan di lapangan sudah dimulakan sejak 26 Jun lalu dan dijangka siap sepenuhnya pada Januari 2026,” katanya.

Pada Januari lalu, Yide berjaya mengumpul dana lebih RM400,000 menerusi penganjuran kejohanan golf amal bagi pembinaan kompleks tersebut.


Pengarang :