Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa ketika sesi perbahasan usul Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia ke-12 (KSP RMK12) di Dewan Rakyat pada 19 September 2023. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

1,300 klinik swasta sertai Skim Perubatan Madani, 80,000 dapat manfaat

SHAH ALAM, 19 SEPT: Lebih 1,300 klinik swasta mendaftar dan bekerjasama sebagai panel memberikan perkhidmatan kesihatan menerusi Skim Perubatan Madani setakat ini.

Menteri kesihatan berkata sejak diperkenal pada 15 Jun lalu lebih 130,000 rawatan kesihatan pesakit luar bagi kes akut diberikan dan 80,000 isi rumah mendapat manfaat.

“Skim Perubatan Madani yang membantu rakyat terutama golongan berpendapatan rendah (B40) mendapatkan rawatan percuma di klinik swasta telah diperluas ke seluruh negara bermula 15 September lalu.

“Itulah kebaikan skim ini yang telah dilancar oleh Kerajan Madani. Bilangan rawatan yang diberikan hampir mencecah 4,000 sehari dan semakin meningkat,” kata Dr Zaliha Mustafa.

Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan usul Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) bagi kementeriannya di Dewan Rakyat hari ini.

Zaliha berkata skim berkenaan diperkenal sebagai inisiatif mengatasi isu kesesakan pesakit di fasiliti kesihatan kerajaan.

“Selain itu ia bertujuan membantu rakyat khususnya kumpulan B40 mendapatkan rawatan pesakit luar bagi kes akut di klinik perubatan swasta secara percuma.

“Kementerian Kesihatan mengalu-alukan klinik perubatan swasta di seluruh negara untuk mendaftar sebagai klinik panel Skim Perubatan Madani.

“Selain itu saya berharap ahli parlimen dapat membantu mempromosi skim ini di kawasan masing-masing untuk memastikan lebih ramai rakyat mendapat kemudahan kesihatan ini,” katanya.

Skim itu yang diumum Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam pembentangan Belanjawan 2023 pada Februari bagi membantu B40 memperoleh kemudahan rawatan dengan kos ditampung kerajaan pada kadar tertentu.

Had bagi isi rumah berkeluarga menerima adalah RM250, warga emas tanpa pasangan (RM125) dan bujang (RM75) setakat 31 Disember ini untuk menerima rawatan pesakit luar.

Pemeriksaaan kesihatan itu meliputi antaranya demam, selesema, cirit-birit, muntah, terseliuh, sakit kepala dan trauma ringan.


Pengarang :