Ahli Dewan Negeri (ADN) Bandar Baru Klang Dr Quah Perng Fei (tiga, kiri) menyerahkan beg makanan asas kepada penduduk Pangsapuri Rebana Bandar Bukit Raja, Klang pada 17 September 2023. Foto Facebook Dr Quah Perng Fei
ADNSELANGOR

200 keluarga di DUN Bandar Baru Klang terima sumbangan makanan asas

SHAH ALAM, 20 SEPT: Sejumlah 200 keluarga di Pangsapuri Rebana Bandar Bukit Raja, Klang menerima sumbangan pelbagai makanan asas termasuk beras pada Ahad lalu.

Wakil rakyat Bandar Baru Klang berkata agihan beg makanan bernilai kira-kira RM50 dibuat menerusi Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri (DUN) berkenaan.

Dr Quah Perng Fei memaklumkan setiap penerima yang layak diberikan minyak masak, garam, gula, mi kering, mi segera, biskut dan makanan dalam tin.

“Pengagihan ini dibuat bagi mengurangkan beban belanja dapur terutama bagi golongan berpendapatan rendah (B40),” katanya kepada Selangorkini.

Menurut Perng Fei, pihaknya amat prihatin dengan keperluan dan kebajikan masyarakat setempat, justeru program berkaitan kebajikan rakyat akan sentiasa didahulukan dan diteruskan.

“Kebajikan masyarakat setempat adalah keutamaan saya jadi kami akan terus bergiat aktif membantu serta berkhidmat kepada penduduk di kawasan ini demi kesejahteraan mereka,” katanya.


Pengarang :