KLANG, 24 SEPT: Program Hari Klang Tanpa Kenderaan anjuran Majlis Perbandaran Klang (MPK) di Laman Seri Safari di sini berlangsung meriah dengan lebih 200 pengunjung hadir sejak 7.30 pagi.
Bertemakan pemakaian batik, program dimulakan dengan acara senam robik dan diteruskan dengan joging sambil mengutip sampah sekitar bangunan bersejarah di Klang.

Yang dipertuanya berkata program anjuran bersama Galeri Diraja Sultan Abdul Aziz dan Gamuda Klang bertujuan mengeratkan perpaduan masyarakat selain menghidupkan Klang sebagai bandar bersih dan selamat.
“MPK anjur pertandingan wefie di bangunan kolonial sekitar Klang sambil berbusana batik menawarkan hadiah utama wang tunai RM500 supaya mereka lebih mengenali tempat bersejarah.
“Dalam kepelbagaian aktiviti ini kami berharap dapat memupuk semangat perpaduan penduduk Klang supaya kita hidupkan moto MPK perpaduan sendi kekuatan,” kata Noraini Roslan.

Pelbagai aktiviti menarik juga disediakan seperti pameran galeri, jualan kendera saji, cabutan bertuah serta jualan sayuran dan buahan di gerai Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) dan Selangor Fruit Valley.

Seorang pengunjung, Amirul Hakim, 13, gembira dapat meluangkan masa bersama keluarga pada hujung minggu dengan menyertai program berkenaan.
“Ini kali kedua saya hadir program dianjurkan MPK, hari ini ayah saya yang bekerja sebagai polis cuti, jadi saya ajak keluarga memeriahkan majlis ini.
“Saya rasa teruja dan bangga dapat bersama memakai kain sarung batik kerana ia seni warisan kita selain memberi sokongan kempen dibuat MPK mengutip sampah jadikan Klang bandar yang bersih,” katanya.

Kakitangan kerajaan, Noratikah Hussin, 31, pula hadir bagi memberi sokongan program yang memberi manfaat kepada masyarakat dari pelbagai usia.
“Saya hadir bersama rakan kerja meraikan Hari Tanpa Kenderaan untuk menyokong kempen MPK mengurangkan karbon yang kian meningkat dan membersih sampah menjadikan aktiviti hujung minggu kami bermakna,” katanya.