Persembahan pembukaan pada majlis perasmian Festival Cerita Rakyat Belia Asia Pasifik Pertama di Dewan Sivil MBPJ Petaling Jaya pada 23 September 2023. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI
BERITA UTAMAPBTSELANGOR

20,000 dijangka sertai Festival Cerita Rakyat Belia Asia Pasifik Pertama

PETALING JAYA, 24 SEPT: Seramai 20,000 pengunjung dijangka menyertai Festival Cerita Rakyat Belia Asia Pasifik Pertama anjuran Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).

Datuk Bandarnya berkata beberapa segmen dijadual berlangsung sepanjang enam hari program antaranya persembahan kebudayaan antarabangsa, seminar kerjaya seni dan persidangan seni antarabangsa.

Datuk Bandar Petaling Jaya Mohamad Azhan Md Amir berucap pada majlis perasmian Festival Cerita Rakyat Belia Asia Pasifik Pertama di Dewan Sivil MBPJ Petaling Jaya pada 23 September 2023. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI

“Malam esok (24 September) kita himpunkan artis terkenal tanah air membuat persembahan antaranya Awie, Ella, Ziana Zain dan Datuk Hattan. Konsert diadakan di Dataran MBPJ.

“Festival ini turut menyelitkan seminar kerjaya seni bertujuan memberi pendedahan awal berhubung industri selain prospek kerjaya,” kata Mohamad Azhan Md Amir pada sidang media festival berkenaan semalam.

Majlis berlangsung di Dewan Auditorium MBPJ, dekat sini dirasmikan EXCO Pembangunan Wanita Anfaal Saari.

Dari kiri Datuk Bandar Petaling Jaya, Mohamad Azhan Md Amir, EXCO Pembangunan wanita, Anfal Saari dan EXCO Agama Islam Dr Mohammad Fahmi Ngah melakukan simbolik perasmian Festival Cerita Rakyat Belia Asia Pasifik Pertama di Dewan Sivil MBPJ Petaling Jaya pada 23 September 2023. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI

Mohamad Azhan berkata penganjuran melibatkan 22 kumpulan termasuk dari 12 negara antaranya China, India, Indonesia, Iran, Jepun dan Thailand.

“Keseluruhan peserta seramai 180 orang. Mereka membuat persembahan mengikut seni dan budaya negara masing-masing.

“Kita turut menjemput speaker dan moderator profesional dari dalam dan luar negara bagi berkongsi pengalaman mengenai sektor perancangan bandar,” katanya.

MBPJ mewakili Malaysia sebagai tuan rumah bagi penganjuran festival yang bertemakan ‘Menghayati Budaya dan Warisan’ sejak 21 sehingga 26 September ini.

Persembahan pembukaan pada Majlis perasmian Festival Cerita Rakyat Belia Asia Pasifik Pertama di Dewan Sivil MBPJ Petaling Jaya pada 23 September 2023. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI

Pengarang :