228 mangsa banjir daripada 69 keluarga di Kedah dipindahkan ke tiga Pusat Pemindahan Sementara (PPS) sehingga 26 September 2023. Foto Facebook APM Negeri Kedah
AGENDANASIONAL

228 mangsa banjir dipindah ke PPS, paras air empat sungai tahap bahaya

ALOR SETAR, 27 SEPT: Mangsa banjir di Kedah terus meningkat kepada 228 mangsa daripada 69 keluarga yang dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di tiga daerah.

Timbalan Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kedah, Mejar (PA) Mohd Muaz Mohd Yusoff, berkata jumlah itu dilaporkan setakat jam 12 tengah malam tadi.

Beliau berkata, dua PPS di Changlun dibuka sejak semalam iaitu PPS Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Changlun dan PPS Dewan Kampung Tradisi yang menempatkan keseluruhan 177 mangsa daripada 51 keluarga, lapor Berita Harian.

“Mangsa adalah penduduk Kampung Nangmah, Kampung Paya Nongmi, Kampung Paya Lantau, Kampung Beru, Kampung Kubang Kayu dan Kampung Bendang Tok Leh di Mukim Temin.

“Sementara, PPS di daerah Kota Setar iaitu di Dewan Taman Seri Bagan yang menempatkan 20 mangsa daripada lapan keluarga baru dibuka malam tadi,” katanya dalam kenyataan malam tadi.


Tiga Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dibuka di Kedah sehingga 26 September 2023 untuk menempatkan 228 mangsa banjir. Foto Facebook APM Negeri Kedah

Mohd Muaz berkata, tiga kampung di daerah Pendang turut dinaiki air iaitu Kampung Batu Hampar Kanan, Kampung Belakang Pendang dan Kampung Banggol Kambing.

Beliau berkata, di daerah Kuala Muda, empat kampung di dua mukim turut terjejas banjir iaitu di Kampung Jerai dan Kampung Sungkap Para (Mukim Teloi Kiri), Kampung Masjid Haji Ngah dan Kampung Masjid di Mukim Semeling.

“Bagaimanapun, tiada PPS dibuka di kedua-dua daerah berkenaan setakat ini.

“Cuaca di seluruh negeri ini tidak hujan (malam tadi) namun APM Kedah sentiasa siap siaga selepas menerima notis waspada hujan sehingga 27 September (hari ini) dari Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia),” katanya.

Mohd Muaz berkata, merujuk data Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), paras sungai terkini menunjukkan aras air empat sungai iaitu Sungai Padang Terap di Kepala Batas di Kubang Pasu mencatatkan 4.01 meter, Sungai Anak Bukit di Jambatan TAR di daerah Kota Setar (1.91 meter), Sungai Pendang di Pekan Pendang (2.8 meter) dan Sungai Laka di Kampung Padang Pasir di Kubang Pasu (22.41 meter).

Katanya, kesemua sungai berkenaan sudah melepasi tahap bahaya.

“Penduduk yang tinggal di kawasan berisiko banjir dinasihatkan supaya berpindah segera jika kawasan rumah dinaiki air.

“Setakat ini jumlah keanggotaan APM Kedah seramai 603 orang, 13 lori penyelamat, 83 bot penyelamat dan lapan ambulans yang digunakan untuk operasi penyelamatan banjir,” katanya.


Pengarang :