Ahli Parlimen Ampang Rodziah Ismail bersama Yang Dipertua MPAJ Dr Ani Ahmad bergambar bersama peserta terlibat sebelum Gotong-Royong Perdana sempena sambutan Hari Pembersihan Sedunia peringkat MPAJ di Taman Bukit Indah Fasa 2, Ampang Jaya pada 23 September 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
PBTSELANGOR

3,000 sertai gotong-royong perdana MPAJ, dilaksana serentak 24 lokasi

AMPANG JAYA, 23 SEPT: Kira-kira 3,000 penduduk menyertai program Gotong-Royong Perdana sempena sambutan Hari Pembersihan Sedunia 2023 anjuran Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) hari ini.

Yang Dipertua Dr Ani Ahmad berkata program dilaksanakan serentak di 24 lokasi sekitar Ampang Jaya bagi meningkat kesedaran dan rasa tanggungjawab komuniti untuk memelihara alam sekitar dengan mengutip sampah.

“Ia sekaligus menyokong Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) elemen ke-11 iaitu menjadikan bandar dan penempatan manusia inklusif, selamat, berdaya tahan serta mampan.

“Sampah kitar semula yang berjaya dikumpulkan semasa gotong-royong perdana kali ini akan dijual dan hasilnya akan disumbangkan kepada tabung endowmen MPAJ.

Ahli Parlimen Ampang Rodziah Ismail bersama Yang Dipertua MPAJ Dr Ani meninjau taman belakang rumah penduduk ketika program Gotong-Royong Perdana sempena sambutan Hari Pembersihan Sedunia peringkat MPAJ di Taman Bukit Indah Fasa 2, Ampang Jaya pada 23 September 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

“Dana terkumpul melalui endowmen MPAJ ini akan digunakan untuk kebajikan serta kesejahteraan masyarakat Ampang Jaya termasuk memberi sumbangan kewangan kepada golongan kurang berkemampuan, bantuan bencana dan mewujudkan fasiliti kesihatan,” katanya.

Beliau ditemui pada majlis perasmian program berkenaan di Taman Bukit Indah Fasa 2, Ampang Jaya yang disempurnakan Ahli Parlimen Ampang Rodziah Ismail.

Ani menambah Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan melulus sebanyak RM22,400 bagi pelaksanaan program itu dan ia diagihkan kepada 24 Jawatankuasa Penduduk (JKP).

“Diharap menerusi program ini dapat mendidik dan mengajar masyarakat berkenaan pengurusan sampah yang betul,” katanya.


Pengarang :