Ketua Polis Johor Datuk Kamarul Zaman Mamat. Foto Facebook Polis Johor
AGENDAJENAYAH

63 individu ditahan dalam operasi di dua pusat hiburan

​​​​​​JOHOR BAHRU, 4 SEPT: Seramai 63 individu termasuk empat warga asing ditahan kerana saringan air kencing mereka positif pelbagai jenis dadah dan tiada dokumen perjalanan sah dalam operasi khas di dua pusat hiburan di sekitar bandar raya ini pagi tadi.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata 210 individu diperiksa di kedua-dua premis hiburan itu dalam operasi dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik dan Jabatan Integriti serta Pematuhan Standard, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor.

Dalam operasi bermula 12.45 tengah malam hingga 3 pagi tadi katanya, kesemua mereka termasuk 22 wanita dan berusia antara 19 hingga 56 tahun itu direman dua hari untuk siasatan lanjut.

“Bagaimanapun, kedua-dua premis tersebut mempunyai lesen perniagaan sah dan beroperasi dalam tempoh masa dibenarkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 6 (1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

– BERNAMA


Pengarang :