EXCO Keusahawanan Mohd Najwan Halimi berucap sempena program Temu Santai dan Hijrah Sihat bersama kakitangan agensi itu di foyer pusat pentadbiran rasmi Kerajaan Negeri, Shah Alam pada 14 September 2023. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
EXCOSELANGOR

78 peratus usahawan disiplin bayar balik pembiayaan Hijrah

Oleh NINA FARZUIN MD SHAROM

SHAH ALAM, 14 SEPT: Sejumlah 78 peratus usahawan disiplin membayar balik pinjaman menerusi pelbagai pembiayaan yang ditawarkan Yayasan Hijrah Selangor (Hijrah).

EXCO Keusahawan berkata beberapa pendekatan bakal digunakan bagi menambahbaik proses kutipan memandangkan agensi itu masih berdepan kesulitan mengutip bayaran balik pembiayaan dari lebih 20 peratus lagi peminjam.

EXCO Keusahawanan Mohd Najwan Halimi berucap sempena program Temu Santai dan Hijrah Sihat bersama kakitangan agensi itu di foyer pusat pentadbiran rasmi Kerajaan Negeri, Shah Alam pada 14 September 2023. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

“Cabaran Hijrah pada masa kini pastinya apabila kita hendak mengutip kembali pembiayaan-pembiayaan yang kita salurkan kepada penerima.

“Antara pendekatan yang diambil termasuklah kerjasama dengan pihak laporan kredit individu (CTOS) dengan beberapa tindakan diambil sekiranya penerima tidak membuat bayaran atau tidak mengendahkan notis yang diberi,” kata Mohd Najwan Halimi pada Program Hijrah Sihat dan Majlis Ramah Mesra, di sini hari ini.

Beliau berkata Hijrah masih menerapkan fleksibiliti apabila penerima pembiayaan masih boleh membuat rayuan dan penjelasan sekiranya mereka berdepan masalah untuk membuat pembayaran.

“Apa yang perlu difahami, Hijrah ini tidak menerima sebarang dana atau geran daripada Kerjaan Negeri setakat ini. Operasi Hijrah bergantung banyak kepada bayaran semula pembiayaan.

“Jika peminjam tidak disiplin untuk membayar semula ia sedikit sebanyak menjejaskan operasi kami selain peluang usahawan lain untuk memohon pembiayaan juga terkesan,” katanya.

EXCO Keusahawanan Mohd Najwan Halimi bergambar bersama kakitangan Yayasan Hijrah Selangor (Hijrah) pada program Temu Santai dan Hijrah Sihat di foyer pusat pentadbiran rasmi Kerajaan Negeri, Shah Alam pada 14 September 2023. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Terdahulu, seramai 196 warga Hijrah terlibat dalam Program Hijrah Sihat yang dilaksanakan sebagai satu inisiatif memberi pendedahan dan kesedaran berkaitan penjagaan kesihatan dan keselamatan pekerjaan.

Menerusi program berkenaan, beberapa pengisian turut dijalankan antaranya pemeriksaan kesihatan di bawah program Pertubuhan Keselamatan Sosial kepada kakitangan Hijrah berusia 40 hingga 59 tahun dan sesi taklimat mengenai keselamatan pekerjaan, manfaat insurans dan simpanan persaraan.


Pengarang :