Orang ramai tidak melepaskan peluang membeli kelengkapan raya di vendor jenama tempatan sempena Karnival Usahawan Gempak di Stadium Malawati Shah Alam pada 9 April 2023. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Agenda perkasa Bumiputera belum capai sasaran, tumpu bangun syarikat kecil

SHAH ALAM, 11 SEPT: Agenda pemerkasaan Bumiputera dalam pemilikan ekuiti masih belum mencapai sasaran 30 peratus seperti yang ditetapkan, kata Perdana Menteri.

Sehubungan itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kerajaan akan menilai semula pendekatan untuk mengukur tahap penyertaan dan kawalan ekonomi Bumiputera yang lebih bermakna.

“Satu kongres ekonomi Bumiputera akan diadakan pada Januari 2024 bagi menetapkan hala tuju dan pendekatan baharu agenda Bumiputera yang lebih adil, saksama dan inklusif.

“Ikhtiar bermakna bagi memperkasa Bumiputera akan beranjak daripada tumpuan terhadap syarikat terpilih kepada program pengupayaan yang melibatkan lebih ramai usahawan dan lebih banyak syarikat Bumiputera berskala kecil dan sederhana,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan usul Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) 2021-2025 di Dewan Rakyat hari ini.

Menurut Anwar, syarikat Bumiputera akan terus berpeluang menerima manfaat sokongan pembiayaan daripada keseluruhan dana yang diperuntuk kerajaan kepada 16 agensi Bumiputera.

Jelasnya, keberkesanan peranan agensi seperti Majlis Amanah Rakyat (Mara), Unit Peneraju Agenda Bumiputera (Teraju) dan Pelaburan Ekuiti Nasional Bhd (Ekuinas) akan dipertingkatkan melalui penjajaran semula strategi dan inisiatif pemerkasaan agenda Bumiputera.

“Petunjuk Prestasi Utama (KPI) diwujudkan untuk menambah baik keberkesanan penyaluran bantuan dan sokongan bagi meningkatkan penglibatan Bumiputera dalam kegiatan ekonomi,” katanya.

Ahli Parlimen Tambun itu menambah kerajaan juga akan membangunkan dana wakaf menerusi Yayasan Wakaf Madani sebagai pendekatan baharu membangunkan ekonomi Islam.

“Bagi memastikan keberkesanan pengurusan tanah wakaf seluruh negara, kerajaan memperkenalkan beberapa inisiatif serta menubuhkan Jawatankuasa Nasional Tanah Wakaf yang mampu menyumbang kepada 20 peratus pengembangan sektor kewangan sosial Islam menjelang 2030,” katanya.


Pengarang :