Air Selangor membuat hebahan menyeru penduduk negeri ini memohon Skim Air Darul Ehsan bagi mendapatkan air percuma. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
ADNSELANGOR

Altimet tumpu rakyat Lembah Jaya daftar skim air percuma

SHAH ALAM, 26 SEPT: Wakil rakyat Lembah Jaya menumpukan usaha memastikan lebih ramai keluarga berpendapatan bawah RM5,000 di kawasan itu berdaftar dalam Skim Air Darul Ehsan (SADE).

Syed Ahmad Syed Abdul Rahman atau Altimet memaklumkan sebanyak 250,000 kuota bekalan air percuma belum digunakan secara menyeluruh sejak dilancar 1 Mac 2020, lapor portal Berita Harian.

“Kita masih ada tempat untuk 250,000 isi rumah. Kalau boleh, saya mahu sebanyak mungkin daripada jumlah isi rumah itu mendapatkan air percuma.

ADN Lembah Jaya Syed Ahmad Syed Abdul Rahman Alhadad (Altimet) bercakap kepada Media Selangor selepas meninjau program Jualan Ehsan Rahmah DUN Lembah Jaya di Ampang Campuran, Ampang Jaya pada 4 September 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

“Ini antara fokus saya di mana saya mahu seramai boleh keluarga (berpendapatan bawah RM5,000) terima air percuma terutama penduduk Lembah Jaya,” katanya.

SADE adalah penjenamaan semula program pemberian air percuma yang dilaksana Kerajaan Selangor sejak 1 Jun 2008.

Sebelum ini, Dato’ Menteri Besar memaklumkan kira-kira 100,000 lagi akaun pengguna bakal menikmati air percuma 20 meter padu sebulan dengan kos lebih RM30 juta dibayar sepenuhnya Kerajaan Selangor.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata ia susulan had minimum pendapatan yang layak menerima manfaat itu dinaikkan kepada RM5,000 berbanding RM4,000 sebelum ini.

Pendaftaran masih terbuka kepada penduduk Selangor sehingga 31 Disember 2024 dengan syarat kelayakan meliputi pemohon mesti warganegara Malaysia, premis kediaman jenis meter individu dan hanya untuk satu akaun sahaja.


Pengarang :