AGENDANASIONAL

Anak Selangor dipelawa mohon pembiayaan pendidikan tinggi, tarikh tutup 30 September

SHAH ALAM, 14 SEPT: Anak-anak Selangor dipelawa untuk memohon Pinjaman Boleh Ubah Dalam Negara bagi sesi kedua tahun ini yang dibuka sejak 1 hingga 30 September.

Dato’ Menteri Besar berkata pelajar peringkat sijil, diploma dan ijazah sarjana muda dalam semua bidang yang diiktiraf kerajaan, institusi pengajian tinggi awam dan swasta di Selangor dan Kuala Lumpur layak memohon.

Menerusi perkongsian poster di Facebook, Dato’ Seri Amirudin Shari turut memaklumkan sebarang pertanyaan lanjut dan urusan permohonan boleh dibuat menerusi danapendidikan.selangor.gov.my

Bantuan khas pendidikan disediakan ini berbentuk pembiayaan tahunan berjumlah RM4,000 bagi sijil diikuti diploma (RM8,000), ijazah sarjana muda pelbagai dan veterinar (RM10,000) serta ijazah sarjana muda perubatan dan pergigian (RM12,000).

Antara syarat kelayakan adalah pemohon, ibu atau bapa lahir di Selangor selain bermastautin lebih daripada 10 tahun di negeri ini dan pendapatan isi rumah tidak melebihi RM20,000.

Tahun lalu, Kerajaan Negeri memperuntukkan RM9 juta melalui pinjaman boleh ubah bagi membantu anak Selangor melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi.


Pengarang :