Laluan di Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2) dari arah Kepong ke Ampang dibuka semula kepada pengguna pada malam 6 September 2023. Foto Facebook JKR Gombak
AGENDANASIONAL

Baik pulih jalan berlubang di MRR2 selesai, laluan dibuka sepenuhnya

SHAH ALAM, 7 SEPT: Kerja baik pulih dan penurapan semula jalan berlubang di laluan Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2) dari arah Kepong ke Ampang selesai dilaksana.

Kerja pembaikan laluan di Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2) dari arah Kepong ke Ampang yang berlubang pada 6 September 2023. Foto Facebook JKR Gombak

Jabatan Kerja Raya (JKR) Gombak menerusi kenyataan di Facebook memaklumkan kerja pembaikan itu siap jam 8 malam tadi dan laluan dibuka sepenuhnya kepada pengguna.

“Kerja pembaikan yang bermula jam 1 petang telah siap dilaksanakan dengan penggantian penutup ‘box culvert’ dan kerja penurapan semula,” katanya.

Semalam JKR Gombak melaporkan kejadian ‘sinkhole’ (jalan berlubang) sedalam hampir satu meter berlaku di laluan MRR2 dari arah Kepong ke Ampang yang berpunca penutup ‘slab crossing culvert’ patah.

Kejadian tersebut menyebabkan aliran trafik sesak sejauh dua kilometer dan pengguna yang menuju ke arah Ampang dinasihat menggunakan laluan alternatif Lebuhraya Duta-Ulu Kelang Expressway (DUKE) bagi kelancaran kerja baik pulih.


Pengarang :