EXCO Pertanian Ir Izham Hashim berucap merasmikan Sesi Pemukiman Banci Pertanian 2024 bersama agensi peringkat Selangor di Wisma PKPS, Shah Alam pada 27 September 2023. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
EXCOSELANGOR

Banci pertanian di Selangor, lebih 60,000 responden dijangka terlibat

SHAH ALAM, 27 SEPT: Kerajaan Negeri memohon pengusaha pertanian memberi kerjasama penuh kepada Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) bagi menjayakan Banci Pertanian 2024.

EXCO Pertanian Ir Izham Hashim berkata bancian itu perlu disempurnakan selepas kali terakhir ia dilaksana adalah pada 18 tahun lalu.

“Banci ini kali terakhir ia dilaksanakan adalah pada 2005 dan merupakan banci pertanian yang ketiga kepada negara. Ia sudah terlalu lama tidak dibuat.

“Oleh itu, adalah amat relevan sekiranya penyediaan profil pertanian yang terkini dan lengkap dilakukan melalui pelaksanaan bancian ini,” katanya pada Sesi Pemukiman Banci Pertanian 2024 Selangor hari ini.

Program yang dianjur di Wisma Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) itu disertai 41 wakil daripada pelbagai agensi pertanian. Turut hadir Pengarah DOSM negeri Hartini Yaacob.

Izham menambah banci pertanian itu dijangka melibatkan lebih 60,000 respondan daripada pelbagai sektor pertanian di Selangor yang akan dikendali oleh 200 pembanci.

Menurutnya proses bancian bakal bermula pada Julai hadapan dan mengambil masa sehingga tiga bulan untuk disiapkan.

“Kita jangka ia akan selesai pada September 2024. Soalan banci itu juga sangat lengkap dan banyak. Saya harap semua pihak dapat beri kerjasama,” katanya.


Pengarang :