Kakitangan Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) menyusun bekalan beras dan telur ketika Program Jelajah Ehsan Rakyat DUN Lembah Jaya di Taman Ampang Indah, Ampang Jaya pada 17 September 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Bekalan beras tempatan cukup, stok makin stabil bulan depan

SHAH ALAM, 21 SEPT: Stok beras putih tempatan (BPT) di Selangor cukup untuk memenuhi keperluan penduduk, kata Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari.

Beliau menjelaskan bekalan tersebut cukup sehingga akhir bulan ini dan bertambah stabil pada bulan depan berikutan pengeluaran padi di utara semenanjung dan Selangor mula dituai.

“Keperluan BPT di Selangor adalah sebanyak 45,500 tan metrik sebulan. Mengikut keperluan bulanan ini, stok BPT di negeri ini mencukupi sehingga penghujung September ini.

“Pada masa yang sama, bekalan BPT akan mula stabil bermula Oktober ini dengan pengeluaran semula padi di utara semenanjung serta Selangor mula dituai,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Amirudin menegaskan Kerajaan Negeri melaksana penjualan beras 5kg pada harga RM13 bagi manfaat rakyat Selangor selain sebagai tambahan langkah kawalan harga siling oleh kerajaan.

Katanya jualan dilaksana melalui Perbadanan Kemajuan Pertanian Negeri Selangor (PKPS) di empat outlet PKPS serta tiga lokasi jualan bergerak pada setiap hari sehingga Disember depan.

“Kerajaan Negeri juga telah menubuhkan Kawal Selia Padi dan Beras Negeri Selangor (KSPDS) bagi perkara berhubung kekurangan stok di kedai dan pasaran.

“Kepada rakyat Selangor, jika terdapat sebarang masalah bekalan, anda boleh menghubungi KSPDS di talian 03-32898419 ataupun 017-2230771 untuk bercakap secara terus ataupun melalui aplikasi WhatsApp,” katanya.

 


Pengarang :