Aksi pemain Selangor FC selepas mengalahkan Perak FC 4-0 pada perlawanan Liga Super 2023 di Stadium Perak, Ipoh, Perak pada 20 Mei 2023. Foto Facebook Selangor FC
AGENDASUKANKINI

Berbaki empat perlawanan, Selangor FC sasar tangga kedua Liga Super

SHAH ALAM, 27 SEPT: Dengan berbaki empat perlawanan musim ini, Selangor FC menyasarkan untuk mengakhiri saingan Liga Super pada kedudukan kedua.

Ketua Jurulatihnya Tan Cheng Hoe berkata barisan kejurulatihan dan pemain akan kekal fokus sehingga akhir musim untuk mempertahankan kedudukan dalam liga.

Ketua Jurulatih Selangor FC Tan Cheng Hoe bercakap kepada media selepas majlis pertukaran memorandum persefahaman (MoU) antara Selangor FC dan Kumpulan KHIND Holdings Berhad di Bukit Jelutong, Shah Alam pada 27 September 2023. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

“Setelah Selangor tidak layak ke peringkat separuh akhir Piala Malaysia, sedikit sebanyak menjejaskan rentak pasukan.

“Kita akan sedaya upaya untuk pertahan tangga kedua, namun ia bukan mudah kerana akan bertandang ke Terengganu dan Kedah. Pemain harus kekal fokus untuk pastikan kita bersedia dengan baki empat perlawanan lagi,” katanya.

Beliau ditemui selepas Majlis Pemeteraian Perjanjian Kerjasama Strategik KHIND Marketing (KHIND) Malaysia bersama Selangor FC di Ibu Pejabat KHIND, Bukit Jelutong, hari ini.

Beliau berkata Selangor FC ketika ini berkelebihan lima mata di atas Kedah yang bermain kurang satu perlawanan.

“Pada 2 Disember ini kita akan bertandang laman mereka yang kemungkinan besar perlawanan untuk penentuan raih tempat kedua liga, tetapi saya percaya pasukan kami sudah bersedia,” katanya.

Selangor kini berada di tangga kedua liga mengumpul 49 mata selepas beraksi 22 perlawanan.

Ketika Johor Darul Ta’zim (JDT) menunggu masa untuk dinobatkan kejuaraan Liga Super 2023, tumpuan terarah persaingan pasukan di tempat kedua.


Pengarang :