Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari (tiga, kiri) menerima cenderamata daripada Pengurus Bidang Internasional Kamar Dagang dan Industri Indonesia Yohanes Lukiman (dua, kanan) sempena lawatan kerjanya ke republik itu baru-baru ini. Foto Facebook Amirudin Shari
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Cari ruang pelaburan, Selangor sedia teroka bidang RS-1 dengan Indonesia

SHAH ALAM, 27 SEPT: Selangor bersedia meneroka bidang yang digariskan dalam Rancangan Selangor Pertama (RS-1) bersama Indonesia untuk mencapai hasrat sebagai pintu masuk Asia Tenggara.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata tumpuan meliputi taman perindustrian pintar dan hijau, sisa kepada tenaga, keterjaminan makanan, rumah mampu milik dan bandar pintar.

Beliau menjelaskan hasrat itu juga akan menarik lebih banyak peluang pelaburan asing ke Selangor selain membuka pintu buat negeri untuk melaksanakan usaha sama di republik berkenaan.

“Walaupun masing-masing akan bersaing, saya menekankan kini masa paling tepat dan perlu untuk negara dan perusahaan di Asia Tenggara menggarap kekuatan bagi memastikan dekad ini adalah abad Asia Tenggara (The Southeast Asian Century).

“(Usaha ini juga) sebagai ruang demokrasi yang subur sebagai pelantar pembangunan ekonomi melalui pekerjaan bergaji tinggi untuk rakyat,” katanya dalam kenyataan di Facebook hari ini.

Terdahulu, Amirudin bertemu Pengurus Bidang Internasional Kamar Dagang dan Industri Indonesia (Kadin) Yohanes Lukiman di Jakarta untuk mempromosi Selangor sebagai pintu masuk Asia Tenggara.

Turut serta EXCO Kerajaan Negeri Najwan Halimi, Ketua Pegawai Eksekutif Invest Selangor Dato’ Hasan Azhari dan Pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor Datin Paduka Mastura Muhamad.

Kadin adalah organisasi utama yang menghimpunkan usaha negara, koperasi dan swasta yang menggiatkan aktiviti usahawan secara dua hala.

RS-1 yang dibentang Julai tahun lalu menggariskan 14 petunjuk makro bagi mencapai keseimbangan antara pertumbuhan ekonomi dan peningkatan kualiti kehidupan rakyat.

Pelan yang bertujuan menangani cabaran semasa digerakkan menerusi empat teras, lima pemangkin dasar dan 262 projek serta inisiatif melalui 19 pemacu perubahan.


Pengarang :