Gambar hiasan perbicaraan di mahkamah. Foto ARKIB SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Cemburu teman wanita diganggu, remaja dituduh bunuh rakan

SHAH ALAM, 1 SEPT: Seorang remaja lelaki didakwa di Mahkamah Majistret Teluk Intan hari ini atas tuduhan membunuh rakannya bulan lalu kerana cemburu teman wanitanya diganggu.

Tertuduh berusia 17 tahun yang diwakili peguam mengangguk faham ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Intan Nurul Farena Zainal Abidin, lapor Berita Harian.

Tiada pengakuan direkodkan kerana pertuduhan membunuh bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi. Mahkamah menetapkan 5 Oktober untuk sebutan semula kes sementara menunggu laporan kimia.

Tertuduh yang tidak bersekolah didakwa membunuh P Hariaran, 21, di tepi Jalan Pasir Kampung Sungai Payung Baroh, Selekoh, Bagan Datuk antara 6 petang hingga 8.30 malam pada 20 Ogos.

Tertuduh didakwa bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntuk hukuman mati atau penjara tidak kurang 30 hingga 40 tahun. Jika tidak dihukum mati, suspek boleh dihukum tidak kurang 12 sebatan.

Pada 23 Ogos, mayat mangsa yang mereput ditemui orang awam dalam parit kebun kelapa sawit di Bagan Datuk, sebelum suspek ditahan tiga hari kemudian di kawasan Hutan Melintang.

Hasil siasatan mendapati motif bunuh kerana suspek cemburu mangsa mengganggu teman wanitanya.


Pengarang :