AGENDANASIONAL

Dakwaan wanita tiada MyKad, JPN minta orang ramai tidak cetus sensasi

PUTRAJAYA, 2 SEPT: Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) telah menghubungi seorang wanita yang dikenali sebagai Melisa, 21, yang dilaporkan tidak mempunyai kad pengenalan, bagi mendapatkan fakta sebenar permohonan kewarganegaraannya.

JPN dalam kenyataan hari ini memaklumkan penelitian sewajarnya terhadap perkara itu sedang dibuat.

Kenyataan itu dikeluarkan susulan tular di media sosial hari ini mengenai kisah Melisa yang mengalami kesukaran hidup kerana tidak mempunyai kad pengenalan dan perkara itu mendapat perhatian netizen.

“JPN ingin memohon agar orang ramai tidak mensensasikan perkara ini dan seterusnya memberikan tanggapan yang tidak benar kepada perkhidmatan kerajaan.

“Proses yang dilaksanakan oleh JPN adalah sentiasa tertakluk kepada Perlembagaan Persekutuan dan selari dengan undang-undang yang berkuat kuasa bagi memastikan kedaulatan dan keselamatan negara terjamin,” menurut kenyataan itu.

JPN turut menasihati orang ramai yang mempunyai masalah, bukan sahaja mengenai kewarganegaraan, malah pelbagai isu lain seperti pendaftaran lewat kelahiran, masalah cap ibu jari, sijil pengangkatan anak angkat, prosedur perkahwinan bukan Islam dan lain-lain, untuk hadir ke 212 pejabat JPN di seluruh negara bagi dibantu dan dibuat penelitian sewajarnya.

“Pemohon dinasihatkan hadir sendiri tanpa menggunakan khidmat ejen atau orang tengah kerana setiap permohonan dan masalah individu mungkin memerlukan penyelesaian yang berbeza,” menurut kenyataan itu.

-BERNAMA


Pengarang :