Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim (kiri) bersama Menteri Ekonomi Rafizi Ramli menunjukkan buku Kajian Separuh Penggal (KSP) Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) bertemakan Malaysia MadaniI: Mampan, Sejahtera, Berpendapatan Tinggi pada Mesyuarat Khas Dewan Rakyat pada 11 September 2023. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Dana besar wujudkan peluang kerja, noktah miskin tegar tahun ini

SHAH ALAM, 11 SEPT: Kerajaan persekutuan mengulangi azam untuk menamatkan kemiskninan tegar pada tahun ini menerusi pelbagai peluang pekerjaan dan pengukuhan perlindungan sosial.

Bagi mencapai hasrat itu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata sejumlah RM1.5 bilion diluluskan untuk menggerakkan projek yang membantu golongan sasar menjana pendapatan.

“Demi menjamin kesejahteraan rakyat secara keseluruhan, kerajaan berikrar untuk menoktahkan kemiskinan tegar tahun ini juga tanpa mengira etnik mahupun keberadaan mereka di bandar, desa dan pedalaman,” katanya.

Dalam pembentangan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) di Parlimen hari ini, beliau berkata kerajaan masih bertungkus-lumus menyelamatkan hampir 114,000 keluarga miskin tegar.

Anwar menambah pelbagai inisiatif pembasmian kemiskinan diperkenal seperti program Pemerkasaan Ekonomi Komuniti Bandar, Skim Pembangunan Kesejahteraan Rakyat dan Program Pembangunan Ekonomi Orang Asli.

Jelasnya, kerajaan juga melaksanakan Program Khas Bumiputera Sarawak dan Program Khas Anak Negeri Sabah untuk meningkatkan pendapatan masyarakat setempat.

“Bagi etnik Cina dan India yang berpendapatan rendah, beberapa inisiatif akan terus dilaksanakan di Kampung Baru Cina dan sebagaimana dalam Malaysian Indian Blueprint,” katanya.


Pengarang :