Pelajar mengikuti program kursus kurikulum Apple bagi kohort kedua di Pusat Pembangunan Kemahiran Teknikal Negeri Selangor (STDC), pada Julai 2023. Foto STDC
AGENDANASIONAL

Dasar Pendidikan Digital lahirkan pelajar berkemahiran dalam era Revolusi Industri 4.0

SHAH ALAM, 11 SEPT: Kerajaan bakal meluncurkan Dasar Pendidikan Digital (DPD) bagi melahirkan pelajar berkemahiran digital dalam era Revolusi Industri 4.0.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata matlamat DPD adalah melahirkan pelajar fasih digital yang berdaya saing menerusi peningkatan pengetahuan, kemahiran dan nilai.

“Antara inisiatif utama DPD adalah pelaksanaan program latihan peningkatan kompetensi digital pendidikan, penambahbaikan kurikulum program pendidikan dan pewujudan pasukan jauhari pendidikan digital,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan usul Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) 2021-2025 di Parlimen, hari ini.

Selain itu, Anwar menambah kerajaan menggalakkan tenaga pengajar Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) menjalani latihan kemahiran semula bagi memperkasa sistem pendidikan tersebut.

Menurutnya, kerajaan juga menyedia peruntukan sebanyak RM40 juta bagi Program Bina Kerjaya, iaitu program peningkatan kemahiran untuk pekerja tidak formal, termasuk pekerja gig dengan kelayakan SPM dan ke bawah.

“Kerajaan percaya keputusan untuk mengkaji peningkatan gaji lepasan TVET mampu mengubah persepsi masyarakat terhadap TVET sebagai laluan kerjaya,” katanya.

Ahli Parlimen Tambun itu berkata, kerajaan membuka ruang kepada golongan belia lepasan SPM yang tidak menyambung pelajaran menceburkan diri dalam sektor pembuatan sebagai pekerja berkemahiran.

Jelasnya, usaha itu akan dilaksana menerusi Akademi dalam Industri (AiI) dengan dana khusus berjumlah RM209 juta, termasuk insentif elaun penempatan.

“Seramai 50,000 anak muda kita disasarkan mendapat pekerjaan berkemahiran dengan Sijil Kemahiran Malaysia pada akhir RMK12,” katanya.

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sebelum ini melaporkan kira-kira 300,000 pelajar lepasan SPM tidak mahu melanjutkan pelajaran atas beberapa faktor termasuk kemungkinan tertarik dengan ekonomi gig.


Pengarang :