Yang Dipertua Majlis Perbandaran Klang (MPK) Noraini Roslan memalu gong simbolik merasmikan Malam Klang Dalam Puisi 133 sempena sambutan ulang tahun ke-133 Pentadbiran Klang di Plaza MPK pada 9 September 2023. Foto Majlis Perbandaran Klang
PBTSELANGOR

Deklamasi sajak, puisi, alunan gambus warnai sambutan ulang tahun pentadbiran Klang ke-133

Oleh JULIANA JOHAR

KLANG, 10 SEPT: Deklamasi sajak, syair dan alunan muzik gambus memeriahkan sambutan ulang tahun ke-133 Pentadbiran Klang di Plaza Majlis Perbandaran Klang (MPK) malam tadi.

Yang Dipertuanya Noraini Roslan berkata pencapaian ratusan tahun pentadbiran Klang yang kini dikelola MPK sangat membanggakan apabila ia bakal dinaik taraf kepada status bandar raya dalam masa terdekat.

“Program ini diadakan bagi meraikan sambutan ulang tahun 133 MPK dan Alhamdulillah, Klang menjadi PBT keempat (di Selangor) yang dinaik taraf menjadi bandar raya dan bakal dikenali sebagai Majlis Bandaraya Diraja Klang tidak lama lagi.

“Persembahan puisi yang dipertontonkan ini juga menampilkan karya-karya sajak, syair dan nazam memperlihatkan keindahan Klang yang semakin pesat membangun,” katanya ketika ditemui selepas menyempurnakan Malam Klang Dalam Puisi 133 sempena sambutan ulang tahun berkenaan.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Klang (MPK) Noraini Roslan (tengah) bergambar bersama Sasterawan Negara Dato’ Rahman Shaari, Tokoh Budaya Negeri Selangor Syed Mahadzir Syed Ibrahim dan barisan tokoh serta jemputan yang memeriahkan Malam Klang Dalam Puisi 133 di Plaza MPK pada 9 September 2023. Foto Majlis Perbandaran Klang

Malam puisi itu dimeriahkan dengan persembahan deklamasi sajak daripada Sasterawan Negara Dato’ Rahman Shaari, Tokoh Budaya Negeri Selangor Syed Mahadzir Syed Ibrahim, mantan Pensyarah Kesusasteraan Melayu Universiti Malaya Dr Raja Rajeswari Seetha Raman.

Turut sama pensyarah Seni Budaya Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Sheikh Suhaimi Sheikh Abdul Rahim.

Sasterawan Negara Dato’ Rahman Shaari mendeklamasikan sajak berjudul Klang Bumi Bertuah pada sambutan ulang tahun ke-133 Pentadbiran Klang di Plaza Majlis Perbandaran Klang pada 9 September 2023. Foto Majlis Perbandaran Klang

Sambutan diserikan lagi dengan persembahan seni gambus dari Mohd Zulhafis Zulkeply, deklamasi sajak dari pelajar Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Kwang Hua, Leong Siaw Chien dan penyanyi Hasnol yang mendendangkan lagu popularnya, Laguku Untukmu.

Pada 26 Julai lalu, Kerajaan Persekutuan bersetuju meluluskan cadangan menaik taraf MPK kepada status bandar raya dengan majlis pemasyhurannya akan diumumkan sebaik mendapat perkenan Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor.


Pengarang :